BEAUFORT: Hal keganasan rumahtangga perlu dilaporkan segera kepada pihak berkenaan bagi mengelak perkara yang lebih buruk berlaku, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
Menurut beliau, masyarakat perlu sedar yang isu keganasan rumahtangga tidak terjadi di dalam bentuk fizikal sahaja.
“Ia boleh bersifat verbal (seperti kata-kata ancaman, herdikan atau bersifat tengkingan) dan mental (seperti menakut-nakutkan sehingga timbul trauma psikologi) atau menyebabkan seseorang hilang daya untuk melawan situasi ganas.
“Statistik keganasan rumahtangga di negeri Sabah sendiri mencatatkan sejumlah 345 kes pada tahun 2023 dan 107 kes sehingga feb 2024 hasil dapatan daripada D11, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Sabah.
“Untuk kawasan Beaufort, dilaporkan sebanyak 11 kes pada tahun 2023 dan tiga kes sehingga Feb 2024,” kata beliau.
Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan keganasan rumahtangga ditangani dari awal agar mempunyai dampak positif untuk masa depan mangsa dan anggota keluarga terdekat mereka.
“Di dalam hal ini, saluran-saluran pertolongan sudah tersedia dan harus disebarluaskan untuk pengetahuan umum,” kata beliau.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach Santuni Wanita “Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita” bagi Dun N32 Klias dan N34 Lumadan.
Dalam program yang diadakan di Dewan DSP Mohd Dun Banir Beaufort pada Selasa itu, teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPMKR merangkap Adun Tulid, Datuk Flovia Ng yang turut mewakili beliau dalam majlis tersebut.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N32 Klias Serta N34 Lumadan atas inisiatif menganjurkan program itu.
Datuk Flovia(duduk tengah), Datuk Isnin (kedua kiri), Hajah Haslina (kedua kanan) dan tetamu lain bergambar bersama peserta Program Outreach Santuni Wanita, di Beaufort, pada Selasa.
“Ucapan syabas serta terima kasih kepada YB Datuk Isnin Bin Haji Aliasnih (Adun N32 Klias) dan Dioslin Bin Alin @ Augustine Mewakili YB Datuk Haji Ruslan Bin Muharam (Adun N34 Lumadan) kerana begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat di sini.
“Sekalung ucapan terima kasih juga kepada Pengarah JHEWA Sabah Hjh Haslina Ismail, dan Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun, serta PPM N32 & N34 kerana memastikan penganjuran program ini berjalan dengan jayanya,” katanya.
Meurut James, Program Outreach Santuni Wanita merupakan flagship atau inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha membantu rakyat mendapatkan pelbagai pekhidmatan yang dibawakan khas daripada jabatan kerajaan seperti JHEWA serta agensi-agensi yang terlibat di kawasan dun yang dianjurkan.
“Sejak November 2021, program yang telah dijalankan secara kerjasama bersama rakan strategik telahpun menjadi wadah penyampaian perkhidmatan yang sangat efektif dalam usaha memperkasakan golongan wanita serta masyarakat secara amnya.
“Ini penting agar wanita, khasnya, terus relevan serta menepati keperluan semasa sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian dan kesejahteraan wanita serta masyarakat di negeri sabah,” kata beliau.
Tambah James, Program Outreach Santuni Wanita sangat signifikan dan sepanjang tempoh program ini berlangsung, JHEWA telah pun menyantuni hampir 4,700 orang di 52 kawasan DUN yang telah dilawati sepanjang tahun 2021 sehingga Ogos 2024.
Pada dasarnya selain menekankan isu perundangan serta sosial di sesebuah kawasan DUN, program itu turut memfokuskan kepada perihal keusahawanan, pengupayaan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, serta kesihatan rakyat.
Turut diutarakan, katanya, ialah isu hak wanita dalam perkahwinan dari perspektif perundangan. Tidak lupa isu penyalahgunaan dadah seharusnya dibenteras di semua peringkat.
Sementara itu, bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang bakal disambut pada 31 Ogos ini, beliau mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah buat semua rakyat.