Jambatan Salleh Sulung 1 dan 2 pemangkin sosio-ekonomi penduduk.
PEOJEK Lebuhraya Pan Borneo (LPB) merupakan inisiatif infrastruktur mega di Malaysia Timur untuk meningkatkan kesalinghubungan di Sabah dan Sarawak, di samping menyokong pembangunan sosio-ekonomi di kedua-dua negeri.
Di Sabah, projek LPB terbahagi kepada tiga fasa. Fasa 1 merangkumi pembinaan jalan raya sepanjang 706 kilometer (km) dari Sindumin ke Tawau yang terdiri daripada dua bahagian iaitu Fasa 1A mengandungi 16 pakej kerja manakala, Fasa 1B mempunyai 19 pakej kerja. Keseluruhan peruntukan bagi Fasa 1 berjumlah RM26.3 bilion.
Sementara, fasa 2 melibatkan laluan sepanjang 98km dari Tamparuli ke Ranau dan Fasa 3 pula merangkumi laluan sejauh 432km dari Kimanis ke Keningau, Kalabakan dan Tawau.Pakej Kerja 5 – Manfaat Kepada Lebih 8,000 Pengguna Jalan Raya Antara jajaran penting dan projek yang telah siap sepenuhnya ialah Pakej Kerja 5 (WP05) yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada dari Donggongon ke Simpang Jalan Papar Spur sejauh 11.7km.
Projek dilaksanakan di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan piawaian JKR R5, memastikan tahap keselamatan dan kualiti jalan raya yang tinggi.
Wakil Penguasa, Nur Zaili Ali yang juga Penolong Jurutera Projek Lebuhraya WP05 berkata, skop utama kerja merangkumi menaik taraf jalan lama Papar – Kota Kinabalu kepada dua lorong dua hala, pembinaan dua jambatan konkrit bertetulang sepanjang 150 meter (m) merentasi Sungai Papar, pembinaan pembetung, sistem saliran, kerja turapan, perlindungan cerun, persimpangan jalan, pemasangan perabot jalan dan alat kawalan trafik, lampu jalan, serta kerja-kerja landskap dan perlindungan alam sekitar.
Projek itu juga melibatkan penempatan semula kemudahan awam serta pembaikan tanah di kawasan lembut bagi menjamin kestabilan struktur jalan.
“Jajaran sepanjang 11.7km ini terbahagi kepada dua reka bentuk. Sebahagiannya mempunyai medium tengah manakala, selebihnya berbentuk split carriageway sepanjang 6km. Jadi, separuh ada dua reka bentuk. Lebuhraya ini memberi manfaat kepada lebih kurang 8,000 penduduk sekitar, itu belum lagi dikira pengguna dari utara ke selatan Sabah.
“Pembinaan dimulakan pada tahun 2022 dan siap sepenuhnya pada 8 Ogos 2024. Dalam jajaran ini, ada pedestrian bridge ataupun lintasan perjalanan kaki khas digunakan untuk penduduk sekitar terutama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gana.”Selain itu, ada dua jambatan iaitu Jambatan Sungai Salleh Sulung 1 dan 2. Kita menggunakan dua jambatan sebab dia berada dalam split carriageway. Jalan ini dibuka pada 9 Ogos 2022 dan siap sepenuhnya pada 8 Ogos 2024, maksudnya dia mengalami kecacatan selama dua tahun,” jelas beliau.
Jejantas Inovatif Pertama di Sabah
Menurut Zaili, jejantas pejalan kaki di Kampung Gana jejantas inovatif yang pertama dibina di Sabah. Ia dikhaskan untuk kegunaan bersama motorsikal dan pejalan kaki. Berketinggian 5.5m dan panjang 44m. Jejantas itu dibina sejak 3 Disember 2025 dan mula dibuka pada 9 Ogos 2024.”Ini yang pertama di Sabah ada design khas yang membolehkan pejalan kaki, motorsikal dan basikal menggunakannya pada masa yang sama.
Hingga ke hari ini, ia digunakan untuk kegunaan warga sekolah SK Gana dan juga penduduk sekitar terutama penunggang motosikal,” dedah beliau.Jambatan Salleh Sulung, Split Carriageway – Hanya Satu di SabahJelas Zaili, satu lagi keistimewaan reka bentuk yang terdapat di jajaran Pakej Kerja 5 ialah dua buah jambatan konkrit bertetulang sepanjang 150m merentasi Sungai Papar. Menurut Nur Zaili, jambatan tersebut dinamakan Jambatan Salleh Sulung 1 (menghala ke Papar) dan Jambatan Salleh Sulung 2 (menghala ke Penampang) yang siap masing-masing pada tahun 2018 dan 2021 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
“The only highway yang ada split alignment adalah di Jajaran WP05. Asalnya, jambatan itu dari single carriage ke dual carriage. Panjang jambatan 150 meter. Kita panggil dua bridge sebab satu bridge tu untuk dua line-up, sebelah lagi dua line-up.“Split carriageway maksudnya, di tengah-tengah itu ada ruang yang banyak untuk mengelakkan talian elektrik dan tiang-tiang lampu yang ada. Jambatan tu pakai box girdia bridge dari sebelah kemudian buat di sebelah,” ujarnya lanjut.
Jamin Keselamatan, Kemenjadian Murid – GB SK Gana
Bagi Guru Besar SK Gana, Dg. Radiah Ag. Mohamad, jejantas inovatif tersebut menjadi fasiliti utama kepada 157 murid dan 18 guru sekali gus menyumbang kepada kemenjadian murid serta menjamin keselamatan warga sekolah berkenaan.
“Jejantas ini juga memberikan impak yang besar kepada kemenjadian murid di mana murid boleh hadir ke sekolah walaupun pada waktu petang. Selalunya, mereka tidak mendapat kebenaran oleh ibu bapa kerana keselamatan itu adalah keutamaan.
“Kebelakangan ini, saya melihat ada tinggal beberapa orang saja yang masih mengiring anak ke sekolah terutamanya anak yang masih kecil. Tapi untuk murid di Tahun 2 tahun 4, 5 dan 6 mereka sudah boleh bergerak sendiri dari seberang sana ke sekolah tanpa diiringi ibu bapa,” jelasnya.
Beliau turut menasihati penduduk sekitar supaya menghargai dan memanfaatkan kemudahan yang diberikan kerajaan dengan sebaiknya.
“Pada saya, semua kemudahan yang diberikan oleh kerajaan akan mendapatkan impak yang terbaik. Seterusnya, kemenjadian murid akan lebih cemerlang. Saya mengharapkan infrastruktur yang telah diwujudkan ini akan dijaga dan dihargai oleh komuniti terutamanya dalam kalangan pengguna jalan raya dan juga khasnya untuk pengguna jejantas ini kerana ia telah memberikan banyak kemudahan dan juga kepentingannya adalah tentang keselamatan,” tegas Dg. Radiah.
Lega, Laluan Selesa – Ibu Bapa
Sementara itu, ibu, Saunah Samad, 39, dari Kampung Gana kini lega, bahkan dia tidak lagi mengiringi anak sulungnya sampai ke pintu pagar sekolah sejak adanya jejantas kecuali anak bongsu yang masih kecil.
“Sebelum ini, kami berulang alik ke sekolah setiap hari. Kami perlu melalui jalan yang sibuk yang di bawah ini. Melintas bersama anak-anak menghadapi kereta-kereta yang laju-laju. Jadi, satu kebimbangan dan keresahan untuk anak-anak, saya tidak membenarkan mereka berjalan sendiri tanpa ditemani.
“Tapi, sejak ada di jantas ini, syukur Alhamdulillah. Kami rasa selamat, sangat selesa dan tidak menjadi kebimbangan dan kerisauan kepada ibu bapa untuk melakukan aktiviti-aktiviti petang di padang sekolah ataupun untuk mereka riadah jogging,” katanya lega.
Jimat Kos Petrol – Penduduk
Turut berasa lega, pengguna harian jejantas, Roslan Lianjun, 52, Kampung Kopozon Gana, dia dapat menjimatkan kos petrol motorsikalnya sebanyak RM20 sebulan sejak tahun lalu. Pembinaan jejantas benar-benar memberi impak kepada kewangan keluarganya.
“Dulu belum ada jejantas, makan minyak sebab jauh U-turn (pusingan U). Sekarang, ada jejantas ini memang bagus sebab saya hari-hari lalu sini. Setiap pagi saya pergi tengok datuk saya, tengok kebun, kasi makan kucing, ayam, lepas tu balik petang.
“Kira jejantas ini bagi kebaikan kepada penduduk kampung, kalau jalan kaki dan pakai motor pun, kami pun tidak sengsara lalu di sini,” kongsinya yang lebih mesra dipanggil Amai.
Kekal Sihat, Tingkat Motivasi – Pelajar
Mendaki beberapa anak tangga di kiri dan kanan jejantas seawal jam 6.15 pagi, bagi Pelajar Tingkatan 3, SM St. Mary Papar Jerryl, ia momen yang menyegarkan, selain dapat meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental serta meningkatkan motivasi ke sekolah.
Dia bersama rakan-rakan sebaya
yang juga jiran di kampung itu, menggunakan jejantas setiap pagi untuk pergi ke sekolah dan van sekolah menunggu di seberang jalan.
Prospek Lebih Luas, Pendapatan Meningkat – Tukang Jahit
Tukang jahit, Cetharinatha Lianjun, 60, dari Kampung Sebandil, Papar.
Dia yang menyewa lot kedai di Tamu Kampung Manggis, Papar sejak tahun lalu, bersyukur kerana menerima banyak tempahan aksesori dan baju tradisional KadazanDusun dari luar daerah.”Di sini lebih selesa sebab dekat dengan rumah. Jalan cantik pelanggan pun senang dari KK ke Beaufort memang limpas sini sebab mereka pergi kerja KK singgah sini waktu petang sambil duduk minum kopi.
“Satu tahun di sini pendapatan saya ada meningkat dan sentiasa ada customer baharu. Ada yang dari KK, ada yang dari Beaufort. Alat jahitan beli di KK sekarang 40 minit sampai banding dulu dekat satu jam baru sampai KK sebab jalan satu lane saja masa itu,” katanya.Jimat Masa, Pasaran Meluas – Pengguna LebuhrayaLain ceritanya dengan seorang penduduk dari Kampung Kuari, Papar Jeffren Malaning, 46, yang agak kecewa apabila pusingan U dialihkan sejauh 2km dari simpang Kampung Simpudu.
Jarak perjalanannya untuk ke tempat kerja kini bertambah 4km kepada 45km. Namun, beliau kemudiannya lega dengan inisiatif Kerajaan Madani yang menyalurkan subsidi RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter sejak 30 September lalu.”Saya berterima kasih kepada Kerajaan Madani. Dengan subsidi dari kerajaan saya masih boleh jimat kos minyak. Lebuhraya Pan-Borneo ni memang memendekkan masa perjalanan, dulu satu jam Papar ke KK tapi sekarang lebih kurang 40 minit. Kawan-kawan kerja yang bawa laju cakap dalam 25 minit sudah sampai tempat kerja,” ujar Jeffren.
Sebagai warga Papar, dia turut mengakui jajaran Pakej Kerja 5 memberi kesan yang positif kepada perkembangan sosio-ekonomi dengan menyaksikan gerai-gerai yang menjual buah-buahan, sayuran, kraftangan, warung, sinalau bakas dan sebagainya tumbuh bagai cendawan selepas hujan di tepi jajaran terbabit.
Konklusi
Meskipun menghadapi beberapa kelewatan akibat isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti, Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah tetap berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat. Malah, beberapa pakej kerja sudahpun siap dan mula memberi impak maksimum kepada masyarakat secara keseluruhannya.Contohnya, jejantas inovatif yang sering diperlekeh sebagai ‘Tangga Kayangan’ kini terbukti mampu meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan. Manakala, lebuhraya dengan jajaran berasingan (split carriageway) dengan reka bentuk yang lebih moden memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya serta mempercepat perjalanan antara daerah.
Sesungguhnya, projek Lebuhraya Pan-Borneo Sabah bukanlah sekadar projek jalan raya semata-mata. Ia merepresentasi komitmen serta kerjasama jitu antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam memacu pembangunan sektor ekonomi untuk memastikan setiap rakyat Sabah menikmati manfaat pembangunan secara inklusif.
Bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini, rakyat Sabah seharusnya mengekalkan keharmonian dan hidup bermuafakat hari ini, ibarat “serumpun bak serai, sesusun bak sirih”./Penerangan-



