Salah sebuah kenderaan menyeberangi sungai Molout/Bayag selepas dasar sungai diratakan.
RANAU: Usaha segera bagi menangani masalah perhubungan di Sungai Melout, Bayag giat dilaksanakan susulan kejadian jambatan konkrit dihanyutkan arus banjir pada Februari lalu, yang menjejaskan laluan utama penduduk setempat.
Kejadian itu menyebabkan penduduk kampung berdepan kesukaran merentasi sungai, khususnya ketika paras air meningkat, selain mengganggu urusan harian termasuk aktiviti ekonomi dan persekolahan apabila kenderaan tidak dapat melalui kawasan berkenaan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, satu penyelesaian jangka pendek dikenal pasti melalui kerja meratakan dan meninggikan laluan dasar sungai bagi membolehkan kenderaan ringan melintasi Sungai Melout dengan lebih selamat.
Pendekatan itu dilihat sebagai langkah praktikal sementara menunggu pembinaan semula jambatan kekal yang lebih kukuh.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, turut turun padang meninjau keadaan di lokasi terjejas selain menyampaikan bantuan bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan laluan tersebut.
Melalui bantuan disalurkan, kerja awal termasuk penambahan bahan seperti batu dan tanah bagi menstabilkan permukaan laluan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.
Penduduk setempat menyambut baik inisiatif berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah melegakan sementara menunggu penyelesaian jangka panjang, khususnya pembinaan semula jambatan yang lebih tahan lasak.
Mereka turut berharap projek pembinaan jambatan baharu dapat disegerakan bagi memastikan akses perhubungan yang lebih selamat dan berterusan pada masa hadapan.-OLEH: SALWAH ARAMAT



