MUSNAH….dua anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Gersik pada petang Sabtu.
LABUAN: Seramai 74 penghuni daripada 15 buah keluarga kehilangan tempat tinggal selepas empat buah rumah mereka yang dibina daripada kayu di Kampung Gersik di sini musnah dalam kebakaran pada petang Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan Ismaidi Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang daripada orang awam.
Katanya, tiga buah jentera dengan kekuatan 45 anggota yang diketuai oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Abdilah Sipardi telah bertungkus lumus memadam api daripada terus merebak kerumah lain.

TINJAU….Bashir (tiga dari kiri), Mohd Dzulfaizal (dua kiri) bersama rombongan ketika meninjau ke lokasi kebakaran .
“Api merebak dengan cepat kerana rumah terbabit dibina begitu rapat antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin
Ismaidi berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira satu jam sambil menambah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kejadian sedang disiasat.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias dan Pengerusi Mahlis Perwakilan penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan turut melawat ketempat kejadian sebaik sahaja di maklumkan mengenai kejadian tersebut.
Kesemua 74 mangsa telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dewan Kompleks Darul Kifayah MAIWP, Tanjung Taras.
Sebelum ini dua kejadian kebakaran rumah turut dilaporkan masing masing di Kampung Lajau Rimba pada 13 Mac lalu mengakibatkan 26 penghuni hilang tempat berteduh selepas dua buah rumah mereka terbakar.
Manakala pada 9 Mac lalu satu lagi kebakaran rumah dilaporkan berlaku di Kampung Kilan Pulau akar.