29 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Labuan lancar OP COVID 19 Bersepadu di persisiran pantai dan perairan Labuan

SIMBOLIK…..Ahmad (dua dari kanan) bersama Rithuan (tiga dari kanan) dan beberapa ketua jabatan yang berkaitan dengan OP COVID Bersepadu  menaiki bot  SEALEGS milik APM sebelum memulakan OP COVID Bersepadu di persisiran pantai dan perairan Labuan di Tanjung Purun, hari ini..

LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan meneruskan misi untuk mengekang jangkitan COVID 19  daripada masuk ke pulau bebas cukai ini dengan melancarkan Op COVID 19 Bersepadu yang melibatkan  kawasan pesisir pantai dan perairan Labuan.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, operasi yang  dilaksanakan dalam  tiga fasa itu bermula hari ini  (2 Ogos 2021)  melibatkan 170 anggota daripada 13 agensi penguatkuasa.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan telah memberi mandat kepada PDRM untuk melaksanakan  dan menerajui  OP COVID 19 Bersepadu–Kawasan Persisiran Pantai dan Perairan Labuan.

 “Objektif utama operasi ini bertujuan untuk memastikan tiada pencerobohan di sekitar perairan Labuan dan memastikan  setiap pengembara yang masuk  ke Labuan perlu melalui pintu masuk yang diwartakan iaitu terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan,” katanya  kepada pemberita pada simbolik pelancaran operasi berkenaan  di Pos Kawalan Operasi Bersepadu dekat Tanjung Purun di sini, hari ini.

BOT PERONDA…. milik  beberapa agensi penguatkuasa yang digunakan dalam operasi tersebut.

Menurut Ahmad,   operasi berkenaan ditumpukan di beberapa  kawasan panas yang telah dikenal pasti di perairan Labuan.

“Labuan memiliki garis pantai sepanjang 66 kilometer, daripada jumlah itu, 33 kilometer adalah garis pantai hadapan dan selebihnya tidak dijaga dan menjadi laluan haram untuk pendatang haram,” katanya.

Sementara itu,  13 agensi yang terlibat dalam operasi tiga fasa itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang akan menggunakan aset masing-masing ketika operasi.

Sementara itu, Pengerusi  Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD), Rithuan Ismail yang turut bersama dalam pelancaran itu menjelaskan, operasi yang telah dirancang sejak sebulan itu adalah sebagai usaha berterusan JPBD untuk mengekang dan mencegah  pandemik COVID 19  daripada menular semula  ke Wilayah Persekutuan Labuan.

“JPBD berusaha untuk  mengekalkan momentum pencapaian dalam melandaikan keluk Covid-19 dan seiring dengan imuniti kelompok yang dicapai Labuan.

“Memandangkan Labuan  menuju ke zon hijau dan beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), sewajarnya momentum  itu dikekalkan” katanya.


Dalam pada itu Rithuan  menyeru penduduk tempatan untuk  bekerjasama dengan pihak berkuasa menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan pendatang haram atau mereka yang melakukan perjalanan tanpa permit polis.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN