Aaron (dua kiri) disambut mesra oleh Simsudin dan Jessica setibanya di lokasi sambutan Minggu Perpaduan di Tapak Letak Kereta Medan Selera, pada Sabtu.
LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan Skor Tertinggi dalam konteks Kebahagian Rakyat Malaysia 2021 sekaligus menandakan keharmonian yang sangat tinggi dalam kalangan penduduknya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, walapun memiliki latar belakang masyarakat pelbagai kaum, agama dan bangsa, namun masyarakat Labuan berjaya mengekalkan suasana aman tanpa wujudnya sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.
“Ini menunjukkan bahawa keharmonian antara komuniti berbeza kaum dapat dijaga dengan baik sekaligus menjadi contoh dan teladan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan nasional di seluruh negara”, katanya ketika betucap merasmikan program Minggu Perpaduan dan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sini, pada Sabtu.
Sementara itu katanya, sebanyak 37 buah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang diwujudkan di Labuan telah berjaya memainkan peranan dalam memperkukuhkan hubungan sosial dan perpaduan diperingkat komuniti.
Menyentuh mengenai sambutan Minggu Perpaduan, beliau berkata program tersebut adalah di bawah kerangka Kembara Perpaduan Malaysia MADANI bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat budaya dalam masyarakat Malaysia.
“Sambutan ini menjadi saluran pengukuhan akar perpaduan disamping mewujudkan tapak integrasi yang akhirnya mewujudkan ekosistem perpaduan yang lebih baik”, katanya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah kepada empat KRT yang telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti dan program sepanjang tahun 2024.
Empat KRT yang menetima Anugerah itu ialah KRT Patau Patau Satu KRT Patau-Patau Dua, KRT Taman Perumahan Mutiara dan KRT Kilan.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Samsudin Sidek dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan, Jessica Basat.



