Ketibaan Ewon disambut mesra ketika tiba di majlis itu
TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui tujuh agensinya telah menyalurkan sejumlah RM425 juta pembiayaan berbentuk pinjaman dan geran kepada 24,592 usahawan dan koperasi di negeri Pahang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata jumlah itu melibatkan pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Selain pembiayaan, seramai 674 usahawan turut menerima bimbingan dan latihan keusahawanan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), manakala SME Corp melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan yang memberi manfaat kepada 2,205 usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bersama Warga KUSKOP dan Agensi KUSKOP Negeri Pahang di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Haji Rahman Mohd Din, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Saidatul Akhma Hassan, pegawai kanan kementerian serta ketua-ketua agensi KUSKOP negeri.
Majlis perhimpunan julung kali diadakan di Pahang itu diadakan sempena Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2025 di Temerloh.
Ewon berkata, secara keseluruhannya KUSKOP melalui semua agensi di bawahnya telah menyalurkan RM7.96 bilion pembiayaan kepada 282,489 usahawan dan koperasi di seluruh negara sehingga 30 September 2025.
Selain itu katanya, dalam tempoh yang sama sebanyak 121,599 individu dan koperasi menerima bimbingan keusahawanan.
Dalam aspek koperasi di Pahang, beliau berkata sebanyak 56 koperasi baharu telah didaftarkan pada tahun ini, 10 koperasi menerima pembiayaan RM9.035 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM.
“Sebanyak 18 koperasi turut diluluskan pembiayaan di bawah Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM545,643, dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah melatih 1,337 anggota koperasi melalui 40 program pemerkasaan pengurusan koperasi.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen tinggi warga KUSKOP dan agensi di Pahang dalam memastikan segala inisiatif dan bantuan disampaikan dengan berkesan kepada golongan sasar,” katanya.
Ewon berkata, tahun 2025 menghampiri penghujungnya menjadi masa penting untuk KUSKOP memperkukuh persediaan menuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Di bawah RMK13, KUSKOP akan menerajui Keutamaan Penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi melahirkan entiti perniagaan tempatan yang berdaya cipta serta mampu bersaing di pasaran global.
“Melalui Keutamaan Pemerkasaan Sektor Ketiga, KUSKOP juga akan memperkukuh peranan perusahaan sosial, perniagaan inklusif dan koperasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi sosial yang mampan,” katanya.
Ewon turut menyeru semua warga kementerian dan agensi supaya terus memperkukuh kerjasama serta mengurangkan kekangan birokrasi bagi memudahkan urusan usahawan dan koperasi, khususnya di luar bandar.
“Kita perlu mempermudah, bukan menyulitkan. We should facilitate, not frustrate our clients. Matlamatnya adalah supaya rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.
Ewon juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga KUSKOP dan agensi negeri atas dedikasi serta semangat perkhidmatan mereka.
“Dengan semangat kebersamaan dan muafakat, saya yakin KUSKOP mampu membina pasukan yang lebih komited untuk terus berbakti kepada rakyat dan memperkasa komuniti usahawan serta koperasi di seluruh negara,” katanya.



