Para penceramah dan pengandali kursus bergambar kenangan dengan peserta.
KENINGAU: Seramai 39 peserta termasuk enam orang penghuni Sekolah Henry Gurney menyertai Kursus Asas Pengadil Siri 1 yang dianjurkan oleh Keningau FA, baru-baru ini.
Presiden Keningau FA, Rafie Robert berkata, penceramah pada kursus ini dikendalikan oleh Bekas Pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Salim Limbai dan Jurulatih Kecergasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abdul Harun Osman.
Katanya, objektif utama kursus tersebut ialah untuk mencari pengadil muda pelapis kepada pengadil yang sedia ada dan untuk mengetengahkan mereka yang berbakat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, ia juga mencari pengadil wanita kerana negara ini sangat memerlukan pengadil yang terdiri daripada golongan wanita.
“Bidang ini juga dapat membantu pengadil pada masa akan datang untuk menjana pendapatan sampingan serta mempelajari undang-undang baru dalam permainan bola sepak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Perasmian Penutupan kursus selama dua hari itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sekolah Henry Gurney, Morry Mondon.



