KENANGAN….Rombongan JKDB Pekan Ranau sempat merakam foto bersama DSP.Sammy (Lima Kiri), Sub.Insp.Abd.Manaf (tiga kanan) dan Tan Eng Sing (Lima kanan) serta AJK yang lain.
RANAU: Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan di sini, telah menzahirkan lembaran baharu bagi mewujudkan perpaduan dan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), menerusi Kunjungan Hormat barisan JKDB itu ke Pejabat Ketua Polis Daerah DSP.Sammy Newton baru-baru ini.
Ketibaan rombongan 8 orang Jawatankuasa Tertinggi JKDB itu, diketuai Pengerusinya, Tan Eng Sing, telah disambut mesra oleh anggota PDRM IPD Ranau diketuai DSP Sammy.
Rombongan seterusnya dijemput masuk ke Bilik Media IPD Ranau untuk bersuaikenal antara mereka dan diteruskan dengan perbincangan yang berkisar kepada isu-isu pewujudan keselamatan dan keharmonian bersama melibatkan warga Ranau khususnya kawasan pekan.
DSP Sammy berterima kasih atas Kunjungan Hormat JKDB yang julungkali diadakan itu, bagi membincangkan kepentingan bersama kedua belah pihak untuk mewujud dan memastikan keselamatan awam di daerah berkenaan khususnya warga pekan.
Menurut DSP Sammy, JKDB juga punyai tanggungjawab dan peranan penting bagi membantu pihak polis menjaga keharmonian awam dengan melaporkan kepada pihak polis jika mendapati sesuatu berlaku melibatkan kes-kes jenayah tertentu seperti kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak memiliki dokumen sah, Penyalahgunaan najis dadah, mencuri atau merosakkan harta benda awam.
“Itu semua tanggungjawab bersama dan bukan menuding jari hanya kepada pihak polis”,jelasnya sambil memaklumkan ‘Polis, JKDB dan Masyarakat Berpisah Tiada.’
“Tugas menjaga keharmonian masyarakat adalah tanggungjawab bersama”, tambah Sammy.
Tan Eng Sing pula mewakili rombongan merakam penghargaan dan terima kepada pihak IPD Ranau, khususnya kepada DSP Sammy kerana sudi menerima Kunjungan Hormat JKDB tersebut.
“Kami mengadakan kunjungan hormat kali pertama ini untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara PDRM dengan JKDB Ranau dalam usaha berganding bahu bersama membenteras kes-kes jenayah di kawasan pekan.
“Saya pun memikirkan keperluan serta kepentingan bantu-membantu dengan pihak polis bagi menangani apa juga kes jenayah melibatkan orang awam perlu ditangani bersama”, tambah Tan Eng Sing.
Hadir sama ialah, Ketua Polis Balai, Sub. Insp.Abd.Manaf Bin Mustafa.
Kunjungan Hormat itu berakhir dengan sesi bergambar kenangan bersama DSP.Sammy.
            Â



