KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa, menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, dan Penasihatnya, Teoh Gim Hooi, di Parlimen pada Selasa.
Sesi lawatan itu bertujuan membincangkan pelbagai isu kesihatan awam di negeri Sabah khususnya berkaitan penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan kesihatan yang disediakan di Sabah.
Selain itu, isu perjawatan turut dibincangkan dan cadangan menaik taraf kemudahan kesihatan telah dibentangkan bagi memantapkan struktur organisasi sistem kesihatan di Sabah.
Cadangan dan penambahbaikan yang telah dibincangkan adalah selaras dengan inisiatif Kertas Putih Kesihatan (HWP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memfokuskan kepada reformasi kesihatan awam demi kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, James berkata bahawa penjagaan kesihatan primer harus membantu menangani penentu kesihatan yang lebih luas, beralih daripada model berorientasikan penyakit kepada pendekatan kesihatan berpusatkan insan.
“Penjagaan kesihatan primer harus mengambil lebih banyak perkhidmatan yang boleh diuruskan dalam komuniti tetapi kini disediakan di hospital seperti pengurusan penyakit tertentu, pemulihan dan perkhidmatan paliatif.
“Dan yang paling penting, penyedia penjagaan kesihatan primer harus menjadi titik hubungan pertama untuk orang ramai menerima dan berunding mengenai perkhidmatan kesihatan, terutamanya penjagaan promosi dan pencegahan,” katanya.
Turut hadir bersama James ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.