RANAU: Kinabalu Dragon Lion Dance Association, di sini, aktif mempelbagaikan aktivitinya terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina (CNY) setiap tahun.
Ketua kumpulannya, Lim Szu Ching @ Tung-Tung ketika ditemui memberitahu, kumpulan itu yang mula ditubuhkan pada tahun 2017 kini mempunyai 35 orang ahli dan aktif menjalani latihan bagi memantapkan persembahan di majlis-majlis tertentu khususnya mengadakan persembahan di lokasi-lokasi yang ditetapkan dengan bayaran derma seiklas hati pihak tuan rumah.
“Kami sering menerima undangan dan tempahan untuk mengadakan persembahan di permis-permis atau pejabat tertentu”, jelas Lim ketika ditemui semasa mengadakan persembahan di perkarangan pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau baru-baru ini yang turut disaksikan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Lim mewakili kumpulan merakam penghargaan dan terima kasih atas kemesraan Datuk Jonathan menyambut ketibaan mereka seterusnya menghulurkan sumbangan ‘Angpou’ kepada kumpulan tarian singa tersebut.
Menurutnya, tahun 2024 ini tarian singa amat penting bagi kaum Tionghua apatah lagi tahun ini merupakan tahun naga, dengan harapan kita memperoleh lebih banyak rezeki” jelas Lim.
Ketibaan kumpulan , turut disambut oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bersama beberapa orang kakitangannya sambil menyaksikan persembahan tarian singa tersebut.
“Kunjungan kumpulan tarian singa seumpama ini, suatu yang positif bagi menyemarakkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina selain mampu memupuk perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat Malaysia selaras dengan konteks masyarakat madani”, jelasnya.
Datuk Jonathan mengalu-alukan persembahan seumpama itu kerana melibatkan penyertaan para belia.
“Aktiviti kumpulan seperti tarian singa amat baik sebagai program dan benteng para belia daripada melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral,”tambah Datuk Jonathan.