27.3 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KSTI, SCENIC Terus Perkasa Pusat e-Desa


Arifin (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima APC.


KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI) bersama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) akan terus memperkasakan 31 Pusat e-Desa di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata fungsi Pusat e-Desa yang dahulunya merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar akan dipelbagaikan kelak. 

“KSTI akan memperkasakan Pusat e-Desa bersama Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), iaitu salah satu agensi di bawah KSTI.

“Sudah pasti selain daripada tempat berkumpulnya idea-idea dan memperkasa bidang teknologi maklumat, Pusat e-Desa juga akan meningkatkan ekonomi, mengumpul kreativiti serta inovasi masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.

“Selain aspek modal insan dan pembudayaan sains, KSTI juga komited dalam membangunkan jaringan infrastruktur di Sabah,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang KSTI Tahun 2023, pada Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim menjelaskan Bahagian Inovasi, Teknologi dan Digital KSTI telah melaksanakan kajian penjenamaan semula Pusat e-Desa.

“Sehingga kini, KSTI dalam usaha untuk menaiktaraf Pusat e-Desa secara berfasa dan telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah dalam penyaluran waran pembaikan kecil kepada sembilan Pusat e-Desa,” jelasnya. 

KSTI  menjangkakan kesemua fasiliti tersebut memerlukan pembaikan selain akan membawa beberapa program ke Pusat e-Desa yang melibatkan empat zon iaitu Zon Pantai Barat, Zon Pantai Timur, Zon Utara dan Zon Pedalaman dengan kerjasama SCENIC bermula Ogos ini.- Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN