Gambar atas: KENANGAN…. Awang Hashim (lima dari kanan) bersama rombongan bergambar kenangan selepas mengadakan lawatan kerja sehari ke ASB. Kelihatan sama Japar Esteban (empat dari kiri)
LABUAN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dalam sebarang bentuk pelanggaran terhadap mana-mana akta yang dikuatkuasakan oleh Kementerian itu.
Demikian kata Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim ketika berucap sempena Lawatan Kerja Ke logistik Hab Bersepadu Minyak dan Gas Asian Supply Base (ASB) di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, pematuhan berterusan terhadap semua akta yang sedang berkuatkuasa berupaya menjaga kebajikan pekerja selain menjamin kepentingan majikan itu sendiri.
“Pematuhan berterusan terhadap semua jenis akta di bawah bidang kuasa KSM khususnya yang melibatkan hak dan kebajikan para pekerja menjadi kunci dalam memastikan mereka terus komited untuk bekerja dan memberikan pulanggan lumayan kepada majikan” katanya.
Sementara itu pada sidang media selepas mengadakan lawatan, Awang Hashim ketika ditanya media berkaitan pelaksanaan Gaji Maksimum RM1,500 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini beliau menjelaskan KSM terlebih dahulu akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil pertubuhan majikan dan dewan perniagaan berhubung perkara tersebut yang akan diadakan pada bulan depan.
“Gaji minimum baharu itu akan mula dilaksanakan pada Hari Pekerja, iaitu 1 Mei ini dan masih ada masa untuk mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil pertubuhan majikan” katanya.
Beliau berkata, sesi libat urus tersebut akan membabitkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan- dewan perniagaan.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASB Sdn. Bhd. Japar Esteban.