31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KRiS UMS anjur program komuniti di Pulau Banggi sempena bulan Ramadan 

Pihak KRiS menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penduduk.

KOTA KINABALU, 27 April – Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf (KRiS), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan “Jelajah Ramadan KRiS 2022 (Jejak2022)” di Kampung Maligu dan Kampung Lumais, Pulau Banggi, Kudat baru-baru ini.

Pengerusi KriS, Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud berkata, program bersama komuniti itu memfokuskan agenda mempromosi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan penyampaian bakul sumbangan makanan sempena bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Program Jejak2022 kali ini turut diperluaskan dengan aktiviti pemasangan unit solar dan juga pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan kerjasama dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

“Misi kita ialah untuk berkongsi faedah kepada penduduk luar bandar khususnya penduduk di pulau-pulau sama ada manfaat berbentuk pengetahuan sains mahupun kepakaran dalam aplikasi teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah memasang peralatan elektrik menggunakan tenaga solar.

Menurut Zul Hilmey,  antara yang terlibat dalam program komuniti itu termasuklah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, Farmasi Aslam Sdn. Bhd., Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Pusat Kelestarian dan Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, dan Kumpulan Sulap Trader.

“Program selama tiga hari ini merupakan kesinambungan kepada program yang sama di Pulau Mantanani, Kota Belud pada tahun lepas.

“Untuk itu, pada kesempatan ini, kita juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan kerjasama dan penaja yang membantu secara langsung bagi memastikan kejayaan program Jejak2022,” katanya.

Sementara itu, Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Gansau merakamkan ucapan tahniah kepada KRiS atas penganjuran program berkenaan yang berbentuk tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

“Program seumpama ini amat wajar untuk terus dipergiatkan dengan menjadikan entiti pertubuhan kebajikan rasmi peringkat fakulti seperti KRiS sebagai salah satu wadah kepada semua warga fakulti membina jaringan strategik kepada entiti luar UMS khususnya melibatkan hubungan dan sumbangan universiti kepada komuniti setempat di negeri Sabah.

“Syabas, tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Maligu dan Kampung Lumais, Kim Ahong turut menyatakan rasa kesyukuran kepada UMS atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap masyarakat luar bandar.

“Dengan adanya program seperti ini, sedikit sebanyak memberikan pendedahan dari sudut peluang pendidikan, taraf kesihatan serta kemudahan infrastruktur seperti tenaga suria bagi memantapkan lagi mutu kehidupan penduduk pulau seperti kami,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN