29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KPM diminta pantau kadar tambang kapal terbang laluan domestik – James

Datuk James…Saranan saya bukanlah sehingga merugikan pula syarikat penerbangan tertentu.

KOTA KINABALU : Kementerian Pengangkutan Malaysia disaran agar terus membuat pemantauan terhadap kadar tambang kapal terbang yang dikenakan kepada penumpang bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, beliau menerima aduan mengenai isu tambang mahal daripada beberapa individu dari negeri Sabah dan Sarawak yang sering menggunakan laluan udara untuk pergi atau balik dari Semenanjung.

“Saya difahamkan sebelum ini menteri bertanggungjawab pernah memberi jaminan akan terus mempastikan kadar tambang kapal terbang bagi laluan domestik antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak terus dikawal agar tidak membebankan penumpang. Diharapkan agar ia terus diberi perhatian sewajarnya bagi mengurangkan bebanan mereka”. Katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

James turut mencadangkan, tawaran tambang murah bukan sahaja dipromosikan setiap kali menjelang perayaan tertentu atau cuti persekolahan, malah dilaksanakan mengikut kesesuaian secara bulanan yang tidak merugikan syarikat penerbangan selepas mengambil kira kos-kos pentadbiran syarikat mereka.

Katanya, memang pada dasarnya harga tambang yang ditawarkan bagi laluan sehala nampak agak murah, namun selepas pengiraan harga dikenakan cukai, ia akan meningkat seterusnya membebankan penumpang.

“Saranan saya bukanlah sehingga merugikan pula syarikat penerbangan tertentu. Tetapi biarlah ia sentiasa dikawal agar mewujudkan kemudahan tambang yang tidak membebankan pengguna dan berpatutan’’. Jelasnya.

Sebelum ini beberapa inisiatif kerajaan termasuk menawarkan subsidi kepada pelajar Sabah dan Sarawak telah dilaksanakan bagi meringankan bebanan mereka untuk membeli tiket kapal terbang terutamanya semasa musim perayaan dan cuti penggal persekolahan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN