26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Perkenal Tanaman Lada Hitam di Kawasan Mesej: Ewon

OLEH : MARRYAN RAZAN


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkenalkan tanaman lada hitam selain durian musang king dan nanas sebagai pertanian bukan komoditi di kawasan Mini Estate Sejahtera (MESEJ) bermula tahun ini.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, tanaman bukan komoditi itu akan dimulakan di Mesej Angalor Kemabong dengan membangunkan tanah seluas 100 ekar untuk tanaman durian musang king.
 
Beliau berkata, keluasan tanah di Mesej Angalor lebih kurang 400 ekar namun mengikut perancangan 100 ekar akan digunakan bagi penanaman durian musang king dan selebihnya untuk tanaman lain seperti nanas dan sayur-sayuran yang dapat memberikan pulangan cepat kepada para peserta.

Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

“Bagaimanapun kita juga akan cuba untuk menanam lada hitam di lokasi yang sama dan sekiranya bersesuaian ia secara tidak langsung akan mempelbagaikan tanaman di kawasan itu.
 
“Tambahan pula, harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah ketika ini tidak menentu, oleh itu kita perlu mencari jalan untuk membantu masyarakat luar bandar memperolehi pendapatan yang lebih konsisten dengan memperkenalkan tanaman lain seperti durian musang king, lada hitam, nanas dan tanaman-tanaman lain yang bersesuaian.
 
“Oleh itu pada tahun ini, kita mulakan penanaman durian musang king di Mesej Angalor Kemabong, kemudiannya di Lahad Datu pada tahun ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 3, di Hotel Grand Borneo, di sini, pada Selesa.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, ada kawasan Mesej yang sesuai untuk tanaman lada hitam dan ada yang tidak sesuai.

Ewon menyampaikan replika cek kepada wakil Puhus Pepper Plantation.


 
“Tahun lepas saya menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) dan saya maklumkan kepada mereka bahawa penanaman lada hitam akan dimulakan tahun ini di kawasan Mesej yang akan dikenalpasti kelak,” katanya.
 
Beliau berkata, ini kerana bukan semua kawasan Mesej sesuai untuk penanaman lada hitam misalnya kawasan tanah gambut.
 
Ewon berkata, kementeriannya juga menyediakan peruntukan setiap tahun untuk Pembangunan Keusahawanan dan Industri Desa dan Pembangunan Satu Daerah Satu Produk.
 
Sehubungan itu katanya, usahawan hiliran lada hitam di Sabah perlu merebut peluang untuk memohon dari segi keperluan bangunan keusahawanan desa atau mesin berkaitan dan pembangunan produk mereka.


 
“Saya berterima kasih kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) kerana sejak cawangan mereka dibuka di Sabah sehingga hari ini, mereka konsisten membantu para usahawan lada termasuk para pekebun kecil lada di negeri ini,” katanya.
 
Beliau berkata, berdasarkan statistik MPB, setakat ini kira-kira 40 hektar tanaman lada di Sabah yang diusahakan lebih 380 pekebun kecil berdaftar dengan lembaga itu.
 
“Tetapi secara peribadi, apa yang saya nampak di kawasan saya sendiri, jumlah keluasan tanaman dan jumlah peserta atau pekebun kecil lebih daripada itu kerana ada yang memulakan penanaman pada skala yang kecil setiap tahun,” katanya.
 
Beliau berkata, sebagai Adun Kadamaian, beliau sendiri telah menyediakan bantuan atau peruntukan untuk para pekebun kecil lada di kawasannya dari segi pembekalan benih dan tiang sokongan lada hitam.
 
Mengenai program itu, Ewon berkata, ia satu program yang baik untuk membangunkan usahawan-usahawan luar bandar berasaskan produk lada hitam.
 
Sementarai tu Pengerusi PLAS Dennison R Indang berkata, harga lada hitam/ putih di Sabah lebih tinggi berbanding Sarawak kerana pengusaha lada di negeri ini tidak melalui orang tengah.
 
“PLAS bekerjasama dengan agensi kerajaan melahirkan usahawan lada bermula dari peringkat kebun hingga pengusaha atau pekebun itu berjaya mengeluarkan produk sendiri,” katanya.
 
Beliau berkata setakat ini, kira-kira 500 ahli PLAS seluruh Sabah dengan keluasan tanaman lebih 50 hektar, antaranya di Keningau, Tambunan, Ranau, Kota Belud, Tuaran, Kota Marudu, Kudat, Lahad Datu dan Tawau.
 

Ewon bergambar bersama peserta dari Kota Belud.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MPB Othman Sajili dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran & Perniagaan MPB Langgi Chaling.
 
Bengkel tiga hari itu yang akan berakhir ‪pada 20 Feb‬ ini, disertai 40 peserta dari seluruh Sabah.
 
Pada majlis itu, turut disampaikan bantuan peralatan mesin di bawah Skim Pembiayaan Pembangunan Pemasaran MPB bagi tahun 2019 kepada Puhus Pepper Plantation dan Fresh Enterprise. –TAMAT
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN