31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Perkenal Inisiatif Baru Dan Tambah Baik Program Sedia Ada

Oleh MARRYANN RAZAN

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu dan menambahbaik program-program sedia ada, termasuk memperkasakan struktur organisasi pentadbiran dan pendigitalan perkhidmatan kementerian.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu harus dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai ikhtibar yang telah dilalui selama ini dalam kementerian.

“Tahun ini pastinya mempunyai banyak cabaran tersendiri sama ada dari segi ekonomi atau politiknya. Apapun, tanggungjawab kita perlu diteruskan ke arah mensejahterakan luar bandar dan membasmi kemiskinan, dua misi utama yang diberikan kepada kementerian kita.

“Saya yakin kita boleh melaksanakan misi ini dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu dan menambahbaik program-program sedia ada,” katanya.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada semua pegawai-pegawai daerah, penolong-penolong pegawai daerah dan warga kerja KPLB Sabah pada majlis Amanat Menteri KPLB Sabah, di Dewan KPLB di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Hj.Dumi Pg.Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan semua pegawai dan kakitangan kementerian.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, tahun ini merupakan tahun akhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020 dan merupakan tahun perancangan bagi Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) 2021-2025.

“Peranan KPLB Sabah, khususnya para pegawai daerah sangat penting bagi memastikan hasrat rakyat menikmati tahap pembangunan yang lebih baik dalam RMK-12 dapat dicapai.

“Kita ambil ikhtibar insiden-insiden yang memungkinkan hasrat rakyat tersebut tidak dapat dicapai atau tertangguh semasa rancangan yang lepas, misalnya kelewatan memulakan projek-projek pembangunan yang tersenarai kerana pelbagai faktor.

“Sehubungan itu bermula tahun ini, mesyuarat Majlis Tindakan Daerah akan dipengerusikan oleh Menteri, Timbalan Menteri atau Wakil Rakyat terkanan di daerah tersebut. Mudah-mudahan dengan pendekatan baharu ini dapat merealisasikan hasrat rakyat untuk menikmati pembangunan berimpak dengan koordinasi dan kerjasama semua agensi dan kerajaan di daerah berkenaan,” katanya.

Ewon berkata, di KPLB Sabah, beberapa inisiatif penstrukturan organisasi telah dilaksanakan termasuk memperkenalkan Bahagian Komunikasi Korporat dan Team Flying Squad bagi memastikan aduan-aduan rakyat yang menggunakan platform media sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Unit Kejuruteraan Kementerian kita juga telah ditubuhkan dan diisi dengan penempatan seorang Jurutera Awam. Ini adalah hasrat saya dan kita semua agar unit ini dapat memainkan peranan memastikan pemantauan pelaksanaan projek-projek infrastruktur asas terutamanya yang dikendalikan dan diselia oleh KPLB Sabah di seluruh Sabah dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual dan terma yang ditetapkan,” katanya.

Ewon bersalaman dengan warga kerja KPLB Sabah.

Katanya lagi, KPLB Sabah juga memperkenalkan inisiatif pendigitalan seperti Sistem Profail Kampung yang telah siap dibangunkan dan akan dilancarkan oleh Ketua Menteri. Kementerian kini sedang membangunkan Sistem Pembayaran Elaun MPKK dan Sistem Pengurusan Permohonan Projek KPLB Sabah bagi menambahbaik proses sedia ada.

Ewon berkata, Kerajaan Negeri telah memberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berdasarkan kepada Bidang Keberhasilan Utama Sabah dan beliau berpuashati ke atas pencapaian KPI kementerian itu walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya limitasi belanjawan.

Ewon bergambar bersama pegawai-pegawai daerah yang hadir pada majlis itu.

“Kita masih mempunyai misi untuk dilaksanakan. Kita jadikan pencapaian selama ini sebagai motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada tahun ini. Rakyat kita, khususnya mereka yang berada di luar bandar mempunyai ekspektasi yang besar.

“Saya berharap keluarga besar KPLB Sabah boleh menjadi sebahagian daripada impian masyarakat luar bandar untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan terkeluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya akui cabaran dalam menggalas amanah kita di Kementerian ini dan pejabat-pejabat daerah terutama berkenaan dengan pelaksanaan Projek Kecil Infrastruktur Asas kerana limitasi peruntukan.

“Misalnya pada tahun lepas, kita diperuntukkan sebanyak RM11.9 juta, tetapi jumlah nilai permohonan yang diterima samada melalui saya, Pembantu Menteri atau Setiausaha Tetap mencecah RM60 juta. Kita akan terus berusaha mendapatkan peruntukan yang lebih besar atau kaedah yang lebih baik untuk menyantuni permohonan-permohonan yang sampai kepada kementerian,” katanya.-TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN