KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus berusaha melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang berjaya dan berdaya saing.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini seramai 61 usahawan luar bandar di bawah Program Bimbingan Usahawan KPLB Sabah berjaya menubuhkan perniagaan dan mempunyai produk masing-masing antaranya produk kraftangan, makanan, kosmetik, kesihatan dan lebah madu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu empat usahawan yang mengusahakan produk Minyak Kelapa Dara dan kosmetik berasaskan abalone berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Bukan mudah untuk memasarkan, mempromosi dan mengangkat jenama sesuatu produk yang baru di pasaran misalnya, produk kosmetik kerana mereka terpaksa bersaing dengan produk-produk kosmetik lain sedia ada di pasaran.

“Begitu juga dengan produk kraftangan dan makanan yang diusahakan oleh usahawan KPLB Sabah. Namun saya percaya dengan adanya kesungguhan dan inisiatif untuk memajukan perniagaan serta sokongan berterusan daripada KPLB Sabah, saya pasti usahawan-usahawan luar bandar juga akan mencipta nama sebaris dengan ushawan lain sedia ada di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Kursus Peningkatan Pengurusan Perniagaan Keusahawanan Dibawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Berhad (SME Bank) dan Agrobank Malaysia.
“Oleh itu saya menyeru usahawan-usahawan luar bandar supaya merebut peluang yang ada untuk memajukan lagi perusahaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, bagi KPLB Sabah, kementerian itu mempunyai lima bangunan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) iaitu di Kudat, Pitas, Matunggong, Beluran dan Keningau.
“Selain itu, kita juga telah mengenalpasti beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Lahad Datu untuk membina bangunan PKD di daerah itu,” katanya.
Mengenai kursus itu, Ewon berkata ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan para peserta dalam bidang keusahawanan termasuk memberi pendedahan mengenai pasaran produk, promosi, kaedah pengurusan kewangan dan perniagaan secara dalam talian.
“Saya berharap kursus seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat baik untuk membantu meningkatkan semangat usahawan-usahawan mengembangkan lagi potensi perniagaan mereka,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Hj.Dumi Pg.Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Keusahawanan Industri Desa (KID) KPLB Sabah Felicia Sindan, Setiausaha Rendah (Dasar) KPLB Sabah Majaran Osman dan Pengurus Intellect Training & Services Norazman Hj.Utoh Nain.
Kursus selama tiga hari bermula 4 November itu disertai 40 usahawan luar bandar yang mengusahakan pelbagai produk termasuk makanan, kraftangan, kosmetik dan homestay dari seluruh Sabah.-TAMAT-

