Arthur semasa melakukan Majlis Pecah Tanah Projek Pemulihan Sawah Padi Kampung Tulid, Kampung Kindasan, Kampung Pauh dan Alab Lanas.
SOOK: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan Kerjasama Kerajaan Negeri
menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.82 juta bagi pemulihan sawah terbiar di daerah Sook, Papar dan Tuaran bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup peruntukan tersebut merupakan usaha yang diambil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam meningkatkan Kadar Sara Diri Beras di negeri tersebut di samping memberi manfaat kepada pengusaha sawah padi dan dapat membantu pengusaha menambah nilai serta meningkatkan hasil pendapatan tahunan para petani.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Banci Pertanian 2024 Peringkat Zon Pedalaman Sabah dan Majlis Pecah Tanah Projek Pemulihan Sawah Padi Kampung Tulid, Kampung Kindasan, Kampung Pauh dan Alab Lanas, Daerah Sook pada Sabtu.
Katanya, Daerah Sook merupakan antara kawasan yang sesuai untuk penanaman padi sawah dengan keluasan 538 ekar. Berdasarkan maklumat dalam sistem e-bajak, pada tahun 2023 terdapat yang seramai Lima Ratus Lima Puluh Enam orang (556 orang) yang mengusahakan sawah padi di daerah ini.
“Sebagai Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat dari kawasan Pedalaman, projek ini merupakan salah satu usaha yang saya bawakan khusus untuk membantu para pesawah kembali memainkan peranan yang aktif dalam industri padi beras.” katanya.
Melalui projek pemulihan ini katanya, KPKM bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah mensasarkan untuk membuka dan memulihkan kawasan sawah padi yang terbiar di daerah Sook dengan kawasan seluas 246 ekar serta peruntukan sebanyak RM1.88 juta.
“Antara skop projek ini termasuklah meratakan sawah, membina jalan ladang sejauh 150 meter, perolehan dua buah traktor pembajakan dan sebuah jentera penuai, benih padi, baja dan racun pertanian. Dianggarkan kawasan seluas 246 ekar ini akan dapat mengeluarkan hasil sebanyak 3.0 mt/ha atau keseluruhannya 294 tan” jelasnya.
Dalam pada itu, Arthur turut menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan yang jitu dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 khususnya memberi kerjasama kepada semua pembanci yang telah dilantik.
Jelasnya lagi, data yang diperolehi akan digunakan sebagai input untuk penambahbaikan program, bantuan dan insentif pertanian yang akan memberi manfaat kepada anda semua selaku petani, penternak, pekebun kecil, pesawah mahupun nelayan.
Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 menjadi kayu pengukur “Kunci Kemajuan Pertanian” dalam pengumpulan data untuk melihat transformasi sektor pertanian negara.
“Saya merasakan bahawa inisiatif ini adalah tepat pada masanya dengan mengambil kira keperluan mendesak bagi mendapatkan data sektor pertanian yang terkini sejak kali terakhir dilaksanakan 19 tahun yang lalu” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Encik Leonard Stephan Poyong dan Wakil Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Puan Fellyntia Sungkang.



