Gambar: ALEXANDER (kiri sekali) menyampaikan sijil penghargaan PJKM kepada peniaga sambil diperhatikan Azman (tengah) dan Rozman (kanan sekali)
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), mensasarkan 200 peniaga di pulau ini beralih ke platform digital menjelang akhir tahun 2022.
Demikian kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi ketika berucap melancarkan Program Inisiatif Pendigitilan Sektor Peruncitan (ReDI) peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Isnin.
Katanya, KPDNHEP telahpun bekerjasama dengan Perbadanan Labuan dan rakan strategik strategik daripada e-wallet iaitu Maybank dan Boost bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan di pulau ini sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi digital.
“Di Labuan RiDE dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan rakan strategik daripada e-wallet iaitu Maybank dan Boost bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiringan dengan perkembangan teknologi digital terutama dalam aspek pembayaran digital tanpa tunai dan tanpa sentuh” katanya.
Alexander berkata, penggunaan e-wallet di negara ini telah meningkat sebanyak 131% kepada melebihi 600 juta transaksi pada tahun 2020, berbanding tahun sebelumnya dan ini menyaksikan peratusan rakyat Malaysia menggunakan wang tunai untuk pembayaran telah menurun sebanyak 11%, iaitu 78% berbanding sebelum pandemik iaitu 89%.
“Statistik ini menunjukkan bahawa digitalisasi pembayaran secara cashless telah mula diterima pakai dan dijangka akan menjadi pembudayaan rakyat dalam tempoh akan datang” katanya.
Beliau berkata, tumpuan kementerian ketika ini adalah kepada peniaga peringkat mikro dan kecil supaya dapat menerima serta mengguna pakai teknologi e-wallet terutamanya di kawasan luar bandar sebagai mod pembayaran utama.
Kementerian juga katanya, menyambut baik program e-Pemula yang diumumkan kerajaan pada 10 April lalu khusus untuk golongan belia (IPT) sebanyak RM150 melalui kredit e-tunai melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta.
“Propgram ini dijangka akan melonjakkan lagi penggunaan e-wallet termasuk memberi impak secara terus kepada penerima dan peniaga yang telah berdaftar melalui program ReDI” katanya.
Pada majlis itu Alexander turut menyerahkan inisiatif e-wallet dan rintis tanpa tunai kepada wakil peniaga dan penyampaian Sijil Penghargaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Mohd Yusuf, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin dan Pengarah KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain.