ADVERTISEMENTspot_img

KPDN Labuan sita 1,400 liter minyak Diesel dari sebuah syarikat perindustrian

Anggota Penguatkuasa KPDN ketika melakukan pemeriksaan dalam serbuan tersebut.

LABUAN:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan menyita sejumlah 1,400 liter minyak diesel daripada sebuah syarikat perindustrian di Kinabenua selepas syarikat berkenaan didapati gagal memperbaharui permit menyimpan barang kawalan minyak diesel
yang telah tamat sejak Julai 2025.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan menyita minyak diesel itu adalah hasil serbuan dalam satu Ops Bekalan yang dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Labuan.

“Hasil serbuan itu telah menemui minyak diesel berkenaan disimpan di dalam sebuah tangki simpanan yang diletakkan di perkarangan premis perniagaan syarikat terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati pengurus syarikat berkenaan telah gagal memperbaharui permit menyimpan barang kawalan diesel, yang telah tamat tempoh sah sejak Julai 2025.”, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan semua barang kes terlibat telah disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah akta yang sama.

Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah hampir RM6, 0000.

Sementara itu, Junaidah mengingatkan kepada semua pemegang lesen dan permit barang kawalan termasuk pemborong barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pemegang lesen dan permit hendaklah peka terhadap tarikh tamat tempoh serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang”, katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN