SITA… pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan ketika membuat pemeriksaan ke atas tong gas petroleum cecair yang dismimpan di dalam sebuah setor di kawasan industry Kina Benau, di sini, pada Khamis.
LABUAN: Kementerian Perdagangan dalam Negeri Kos dan Sara Hidup KPDN Wilayah Persekutuan Labuan merampas 54 buah tong gas petroleum cecair dalam serbuan Ops Tiris di kawasan Industri Kina Benua, dekat sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pihak Penguat Kuasa KPDN telah melakukan serbuan kira-kira jam 3.15 petang terhadap sebuah setor penyimpanan selepas penyelia setor berkenaan gagal mengemukakan permit penyimpanan barang kawalan Gas Petroleum Cecair.
“Hasil dari serbuan itu, pihaknya telah menemukan 13 tong silinder berwarna hijau dan 41 lagi tong silinder bewarna kuning yang disyaki mengandungi cecair petroleum dengan kuantiti 50 kilogram per tong bernilai keseluruhan RM29,700.00” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah.
Dalam pada itu, Junaidah memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh KPDN.
“KPDN Labuan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang telah dikuatkuasakan” katanya.



