Penguatkuasa KPDN ketika membuat pemeriksaan bekalan dalam Ops Pantau 2025
LABUAN: Sebanyak 130 premis perniagaan yang menjadi tumpuan pengguna telah diperiksa menerusi Ops Pantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, pada Selasa.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata hasil daripada pemeriksaan itu, KPDN berpuas hati selepas mendapati peniaga yang diperiksa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian.
“Antara premis yang diperiksa meliputi kawasan Kompleks Ujana Kewangan, Bazar Kolej Matrikulasi, Bazar Taman Damai Kampung Layang Layangan” katanya di sini.

Penguatkuasa KPDN ketika melakukan pemeriksaan Ops Pantau sekitar Bazar Ramadan di Sekitar pusat bandar.
Junaidah berkata, seramai 14 anggota Pegawai dan Penguatkuasa KPDN telah ditugaskan membuat pemeriksaan Ops Pantau 2025 yang dilaksanakan setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
“Pemeriksaan ini tidak hanya meliputi penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, tetapi juga meliputi pemeriksaan bekalan dan harga, aktiviti Jualan murah, pengunaan alat timbang dan sukat, penjualan barang tiruan dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri”, katanya.



