26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kos pengangkutan kapal laut mengakibatkan harga ayam lebih tinggi di Sabah: James


KOTA KINABALU: Kos Pengangkutan Kapal Laut yang lebih tinggi bagi negeri Sabah berbanding dengan Semenanjung Malaysia menyebabkan harga ayam lebih tinggi di negeri ini.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, bagi Negeri Sabah terdapat dua perbezaan harga iaitu di kawasan Pantai Barat dan juga di Pantai Timur Sabah.


“Semasa pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur Ayam (PHMAT), penetapan harga kawalan adalah berbeza mengikut Wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan jenis Ayam iaitu Ayam Hidup, Ayam Standard dan Ayam Super.


“Untuk makluman, semasa pelaksanaan PHMAT, harga ayam standard di Semenanjung Malaysia adalah RM9.40 semasa harga kawalan manakala di Sabah RM11.00. Untuk Ayam Super, di Semenanjung RM10.40, manakala di Sabah RM12.00.


“Ini menyebabkan penghasilan ayam pedaging lebih banyak di Semenanjung Malaysia serta penawaran lebih banyak seterusnya mewujudkan perbezaan harga antara Sabah dan Semenanjung Malaysia,” kata beliau.


Menurut beliau, proses Pertukaran Kapal di Pelabuhan Klang terpaksa dilakukan disebabkan pengusaha ayam tempatan Sabah tidak dapat mengimport bahan mentah dalam kuantiti yang besar.


“Ini menyebabkan berlaku peningkatan kos yang dianggarkan antara 15% hingga 20%. Kos bahan mentah bagi makanan Ayam di Sabah lebih tinggi iaitu 20% berbanding dengan Semenanjung Malaysia.


“Kos bahan mentah ini menyumbang 70% kepada kos pengeluaran ayam pedaging ataupun telur ayam.


“Kos logistik juga yang tinggi kerana kawasan yang luas, keadaan muka bumi dan jalan perhubungan yang masih kurang baik berbanding dengan Semenanjung Malaysia,” kata beliau.


James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Pantai Manis, Tuan Mohd Tamin @ Tamin bin Zainal semasa hari keempat Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas pada hari Khamis.


Dalam soalannya, Mohd Tamin bertanya kepada Menteri KPMKR, mengapakah harga ayam sekilo di Sabah RM12.00 berbeza dengan di Semenanjung hanya RM9.40 sedangkan ternakan ayam ada di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN