25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Koperasi Tatalaan Berhad berhasrat jalin usahasama dengan LKTNS: Barahim

Barahim (kanan) menerima Sijil Pendaftaran Koperasi Tatalaan Berhad disampaikan oleh Ghani (dua dari kanan), disaksikan Syaheddrul (tiga dari kiri), AB Rojhan (dua dari kiri) dan Jasni (kiri).

KENINGAU: Koperasi Tatalaan Berhad berhasrat menjalinkan usahasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) untuk membangunkan kawasan tanah seluas lebih kurang 300 ekar milik Koperasi di kawasan Tatalaan dengan penternakan lembu dan tanaman kontan.

Pengerusinya Barahim Andipoh berkata, Koperasi Tatalaan Berhad telah mendapat Sijil Pendaftaran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada Disember tahun lepas.

Katanya, Koperasi ini telah merancang program yang lebih menjurus kepada peningkatan sumber ekonomi masyarakat setempat khususnya ahli Koperasi yang membabit 12 buah kampung di kawasan Tatalaan.

“Kita yakin Koperasi ini mampu meningkatkan ekonomi penduduk jika jalinan usahasama dengan LKTNS menjadi kenyataan kelak” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pembentukan Ahli Jawatankuasa Ahli Lembaga Koperasi di bilik mesyuarat LKTNS Wilayah Barat di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu dihadiri oleh 13 Ahli Lembaga termasuk Pengerusi Koperasi Tatalaan Berhad yang sebelum ini bertaraf penaja.

Terdahulu semasa berucap pada majlis ringkas penyerahan Sijil Pendaftaran Koperasi Tatalaan Berhad, Pengerusi LKTNS Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, pihak LKTNS sedia menjalinkan usahasama dengan pihak Koperasi sekiranya dokumen-dokumen yang berkaitan sudah lengkap.

Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan berkata, sesuai dengan peranan LKTNS sebagai GLC kerajaan negeri yang memainkan peranan membangun tanah masyarakat kampung secara usahasama hasrat Koperasi akan diambil perhatian.

“Kawasan tanah yang bakal dibangunkan secara usahasama itu adalah milik Koperasi yang akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya bagi jangka panjang” jelasnya.

Sementara itu Pengurus Besar LKTNS Syaheddrul R Joddari berkata, pihak LKTNS sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak Koperasi Tatalaan dalam menjalinkan kerjasama ini.

Beliau juga yakin Koperasi ini akan menjadi setanding dengan Koperasi-Koperasi lain yang sudah menjalinkan kerjasama LKTNS.

Turut hadir, Pengawal Operasi LKTNS AB Rojhan bin Jalil, Pengurus Wilayah Barat Jasni bin Mohd Yusoff dan beberapa kakitangan LKTNS Wilayah Barat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN