KOLABORASI… Prof Madya Dr Geoffrey ( kanan) dan Azlee (kiri) menandatangani Surat Niat Kerjasama sambil disaksikan Iswandie (berdiri kiri sekali,) Johari (berdiri dua dari kiri), Dr Ricky, ( dua dari kanan dan Dr Alesia, (kanan sekali).
LABUAN: Koperasi Persatuan Usahawan Digital IKS Sabah Berhad (Koperasi PERDIKS) menandatangani Surat Niat Kerjasama bersama Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang telah diadakan di Kota Kinabalu baru baru ini.
Majlis menandatangani Surat Niat Kerjasama itu diwakili oleh Pengerusi Koperasi PERDIKS, Azlee Okee, manakala FKAL UMSKAL diwakili oleh Dekan FKAL UMSKAL Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Di Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Johari Saiman dan Pegawai Pembangunan Masyarakat DUN Pantai Dalit, Irwandie Matshah.
Hadir sama Timbalan Dekan Akademik Antarabangsa, Dr Ricky Chia Chee Jun, Timbalan Dekan Penyelidikan Dan Inovasi FKAL, Dr Alesia Sigang Gogkang, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKAL, Dr Noor Hassanah Husin.
Menurut Azlee kerjasama itu merupakan salah satu langkah strategik untuk memperkasakan usahawan digital, khususnya dalam kalangan komuniti B40.
Beliau berkata Koperasi PERDIKS akan menyediakan sokongan logistik dan rangkaian bagi memastikan kejayaan kolaborasi itu.
“Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi tetapi juga memberi manfaat besar kepada komuniti setempat” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal pula menekankan kepentingan projek ini dalam membangunkan kapasiti pelajar FKAL.
Beliau percaya kolaborasi ini mampu membuka peluang luar biasa kepada pelajar dan komuniti, serta menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih mampan.
Selain itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Di Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Johari Saiman, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu usaha penting dalam memperkukuhkan ekonomi Sabah.
Beliau mengharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dirancang untuk meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti khususnya di Pantai Dalit dan Tuaran amnya.
“Kerjasama ini diharap menjadi model kejayaan untuk inisiatif masa depan, memberikan impak positif bukan sahaja kepada komuniti setempat tetapi juga kepada pembangunan ekonomi Sabah secara keseluruhan”,katanya.



