LABUAN: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah pada Isnin di Mahkamah Khas Rasuah Wilayah Persekutuan Labuan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender di Kolej Matrikulasi Labuan pada 2019.
Tertuduh Mohd Asyraf Kula, 29, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa telah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Surat Kebenaran Khas Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi mendapatkan tender kerja-kerja sistem retikulasi air luaran dan lain-lain kerja berkaitan di Kolej Matrikulasi Labuan bernilai RM1.6 juta daripada Jabatan Kerja Raya Labuan.
Mohd Asyraf dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Jabatan Kerja Raya Labuan pada 11 Okt 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Katherina Nais manakala Mohd Asyraf diwakili peguam Rakhbir Singh.
Abu Bakar membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sementara itu, kes sebutan semual ditetapkan pada 18 Mac depan.