24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Konfrontasi Kalabakan 1963- Pupuk Perpaduan Generasi Hari Ini

Hassan (empat kiri) mempamerkan buku Konvoi KMJG bersama dif jemputan kehormat.

KALABAKAN: Jadikan peristiwa ‘Konfrontasi Kalabakan 1963’ sebagai pengajaran agar semangat perpaduan terus terpelihara dalam kalangan masyarakat hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik,  Datuk Hassan A. Gani Pg. Amir berkata perpaduan mampu menepis anasir-anasir yang boleh membawa kepada perpecahan dan penjajahan kedaulatan negara.”Perpaduan ini amat penting untuk kita menepis segala anasir-anasir yang boleh membawa perpecahan kaum di kalangan rakyat yang akhirnya membawa kepada penjajahan kedaulatan negara.”Apa yang berlaku di daerah Kalabakan sebelum ini menjadi satu titik hitam untuk pengajaran masyarakat di kalabakan ini bahawa pencerobohan telah berlaku pada September 1963 iaitu konfrontasi Kalabakan yang mana pada ketika itu, pencerobohan mengorbankan lapan anggota kita.

“Namun, kita bersyukur dan berterima kasih kepada pahlawan-pahlawan kita pada ketika itu yang sanggup berjuang mempertahankan kedaulatan negara sehingga sanggup berkorban nyawa, malah semangat perpaduan, rakyat biasa pada ketika itu yang terdiri daripada orang-orang kampung dan pemimpin masyarakat di Kalabakan sendiri turut bersama-sama terlibat mempertahankan kedaulatan negara kita.

“Betapa pentingnya perpaduan itu dan seharusnya kita jaga dan pupuk sehingga ke bila-bila agar apa yang diperjuangkan sebelum ini tidak disia-siakan, maknanya apa yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil perjuangan pejuang-pejuang kita yang lepas, justeru sampai bila-bila masa pun kita harus mengingati menyatupadukan masyarakat agar kestabilan dan keharmonian itu sentiasa kita rasai,” katanya ketika ditemui media dalam Program Kenduri Rakyat sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan KMJG peringkat Daerah Kalabakan 2024 di Masjid Al Muqarrabah Kg Rancangan, Kalabakan pada Khamis. 

Hassan turut menyambut baik perlaksanaan Konvoi KMJG yang dianggap sebagai simbol menanam Jalur Gemilang di hati dan minda masyarakat sebagai kemerdekaan. “Program KMJG ini merupakan satu simbol yang membawa Jalur Gemilang itu sendiri, membawa lambang negara Malaysia yang kita cintai itu sendiri untuk diperkenalkan, 

bukan bermakna rakyat tidak kenal dengan Jalur Gemilang tetapi ianya lebih kepada memperingati supaya rakyat  sentiasa ingat dalam hati dan minda bahawa kemerdekaan itu bukan satu perjalanan yang mudah, pejuang-pejuang kita memperjuangkan kemerdekaan ini dengan mengharungi pelbagai liku.

“Jadi program kembara seperti ini patut diteruskan pada masa-masa yang akan datang yang seharusnya disokong oleh seluruh lapisan masyarakat, kemerdekaan itu amat bermakna untuk kita kerana apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan orang-orang yang terdahulu yang berjuang mempertahankan negara kita, “ujar beliau.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kalabakan, Saridun Mohd Jinin, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Kalabakan, Sharifah Norzian Sh. Sihan, Ketua Balai Polis Kalabakan, SM Marjumin Rasam dan Pegawai Penerangan Daerh Tawau, Azuary Abdul Azis. –PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN