Sukuran (dua dari kanan) menyampaikan alat pemadam kebakaran kepada Emly sambil disaksikan Abd. Rahman (dua dari kiri).
LABUAN: Komuniti yang selamat merupakan asas kepada pembangunan wilayah yang sejahtera.
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Kebakaran Kampung Patau- Patau 2: Komuniti Selamat, Prihatin dan Sejahtera di sini pada Ahad.
Beliau berkata aspek keselamatan komuniti bukan hanya terletak dan tanggung jawab agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tetapi adalah amanah bersama.
Justeru itu katanya pembudayaan ilmu keselamatan mesti bermula dari rumah apabila anak-anak melihat ibu bapa mengambil berat soal keselamatan.
“Inilah budaya yang ingin kita terapkan iaitu budaya peduli, cakna dan bertindak balas secara bijak dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan”, katanya.
Selain itu katanya, pembangunan sesebuah wilayah tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan fizikal semata-mata, tetapi juga bergantung kepada tahap kesedaran, kesejahteraan hidup serta keyakinan rakyat terhadap keselamatan diri dan persekitaran mereka.
Perbadanan Labuan katanya, sentiasa menyokong penuh segala usaha yang menjurus ke arah pembentukan komuniti yang berdaya tahan, berpengetahuan dan berinisiatif.
Beliau juga menyeru agar komuniti setempat sentiasa berbincang sesama jiran tetangga untuk mewujudkan pelan tindakan komuniti dan mengenal pasti risiko risiko di kawasan sekitar.
“Apa yang lebih penting lagi komuniti perlu terus menjalinkan hubungan baik serta dapat berkomonikasi secara berterusan dengan agensi agensi keselamatan khususnya JBPM”, katanya,
Program anjuran JBPM Wilayah Persekutuan Labuan itu telah diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah kebaran dan latihan memadam kebakaran.
Hadir sama Pengarah JBPM Labuan Abd Rahman Ali, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan S. Roslee Matusin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Patau-Patau 2 Elmy Omar.



