Jainisah (sembilan, kiri) dan Elui (sembilan, kanan) bergambar kenangan di Program JIWA Madani Kota Marudu.
KOTA MARUDU : Komuniti Madani disaran untuk menguasai literasi digital bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi seperti isu jenayah dalam talian.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding berkata, trend menunjukkan jenayah tradisional kini telah mula berpindah ke alam maya termasuk media sosial dan tidak hanya berlaku dalam bentuk fizikal.
“Jenayah cyberspace juga wujud dalam bentuk panggilan scam, Love Scam dan transaksi dalam talian tanpa kebenaran yang menyebabkan ramai mengalami kerugian yang boleh mencecah ribuan ringgit akibat kehilangan wang dalam akaun tanpa mereka sedari,” katanya.
“Disebabkan itu, pentingnya ilmu pengetahuan mengenai penggunaan teknologi atau dipanggil sebagai literasi digital supaya kita tahu hak-hak kita sebagai pengguna teknologi dan kemudahan yang boleh kita nikmati menerusi penguasaan teknologi,” katanya semasa merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Kota Marudu, pada Jumaat.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Daerah Kota Marudu Kawasan N.7 Tandek, OKK Elui Majingkin.
Beliau turut menjelaskan perkara tersebut merupakan antara sebab NADI diwujudkan iaitu sebagai platform mempelajari ilmu-ilmu asas penguasaan teknologi yang memberi manfaat seperti membuat perniagaan atau pembelian atas talian, adab serta etika dalam pergaulan di media sosial.
“Inilah antara bentuk kemudahan yang disediakan oleh kerajaan yang mungkin masih lagi tidak diketahui umum, gunakanlah kemudahan yang ada ini secara optimum dan sebarkanlah kepada jiran-jiran serta rakan-rakan di pejabat.
“Harapan saya, bukan sahaja anak-anak muda malahan golongan dewasa dan veteran juga harus mengambil peluang ini untuk bersama-sama mempelajari ilmu teknologi agar pelbagai masalah atau kekangan teknologi dapat kita tangani,” jelasnya.
Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah penyampaian watikah kepada sembilan Komuniti Madani daerah berkenaan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan meraikan persaraan Pegawai Penerangan Daerah Kota Marudu, Yaacob Hamud. – PENERANGAN –