25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Komen biadab terhadap TYT Sabah dikecam, cermin ketandusan adab di Media Sosial – Yazid

Yazid Hasnan Tawik @ Charles,

KOTA KINABALU: Tindakan melontarkan komen negatif dan keterlaluan terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu dikecam kerana mencerminkan kedangkalan ilmu serta ketandusan adab dalam mengendalikan media sosial.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Yazid Hasnan Tawik @ Charles, berkata pihaknya kesal dengan beberapa komen berunsur penghinaan terhadap kedudukan TYT Sabah yang diangkat sebagai Canselor Ke-4 Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Komen negatif sebegitu amat keterlaluan. Jawatan TYT bukan bahan gurauan. Sebagai rakyat Sabah, kita seharusnya memahami dan menghormati institusi tertinggi negeri ini. Jika kita sendiri tidak menghormatinya, siapa lagi yang akan berbuat demikian?

Tindakan tersebut jelas mencemarkan imej negeri yang sinonim dengan budi bahasa, kesantunan, dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” tegasnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam masa yang sama, Yazid menasihatkan golongan belia dan pelajar agar menggunakan media sosial secara berhemah dan berfikiran matang bagi mengelakkan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Katanya, undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebar kebencian atau fitnah.

“Perbezaan pandangan dan ideologi politik, sosial mahupun kesukuan adalah lumrah. Namun, jangan sampai ia digunakan untuk menghina atau memperlekehkan institusi kepimpinan tertinggi negeri.

Sebaliknya, marilah kita sama-sama mencetuskan idea bernas dan membina bagi kemajuan bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman atas pelantikan sebagai Canselor Ke-4 UMS, yang disifatkan tepat pada masanya untuk memacu kecemerlangan akademik negeri.

“Tun Musa merupakan tokoh berpengalaman luas dalam pembangunan negeri dan modal insan, serta telah banyak membawa perubahan terhadap landskap ekonomi Sabah sewaktu beliau menjawat jawatan Ketua Menteri.

Dengan pengalaman yang dimiliki, saya yakin beliau mampu membawa perubahan besar dalam menjulang kecemerlangan UMS ke arah melahirkan modal insan berkualiti demi masa depan generasi muda dan kemajuan negeri Sabah,” katanya.

Pada 2 November lalu, Tun Musa menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Ke-4 UMS, yang diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, di Istana Seri Kinabalu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN