SARINGAN (gambar)…kakitangan jabatan kesihatan mengandakan usaha untuk mengesan kontak rapat selepas Labuan menjadi Zon Merah COVID 19.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN:Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata seramai 511 individu yang merupakan kontak rapat kes positif COVID-19 daripada Kluster Layang-Layangan telah menjalani ujian saringan.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 45 didapati positif yang membabitkan pelajar sekolah, penduduk komuniti tempatan, seorang penjaga kuil Hindu termasuk rakan dan saudara-mara mereka.
“Jangkitan itu turut dikesan di Semananjung dengan dua kes di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan satu kes di Kedah” katanya di sini, pada Isnin.
Dr Ismuni berkata peningkatan kes daripada kluster itu telah menjadikan Labuan sebagai zon Merah COVID 19 selepas merekodkan lebih 40 kes dalam tempoh 14 hari.
Katanya, terdapat beberapa kumpulan tertentu telah mengabaikan prosedur operasi standart (SOP) dengan mengadakan perhimpunan keluarga di kawasan pantai serta meraikan sambutan ulang tahun di medan selera.
Jelasn Ismuni lagi, Kluster Layang-Layang yang muncul pada 5 Mei lalu adalah berpunca daripada tujuh rakyat India dan lima rakyat Malaysia yang tiba di Labuan dari Semenanjung melalui Lapangan Terbang Labuan baru baru ini.
“Tindakan menyembunyikan maklumat oleh setengah pesakit yang positif COVID 19 atau kontak rapat menyebabkan berlakunya peningkatan kes.
|” Kami telah mengandakan usaha untuk mengesan kontak rapat pesakit yang positif sehingga ke generasi ke lima dan menghubungi klinik swasta bagi membendung penularan” katanya.
Beliau berkata, memandangkan kluster Layang-Layangan telah menular ke sekolah, kuil dan kominiti tempatan adalah mustahak bagi semua orang untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beliai turut merayu orang ramai supaya mengelakkan berada di khalayak ramai dan kawasan sesak sepanjang penularan virus ini.