CENDERAHATI…..Dr Ramli (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Rozman selepas melancarkan COVID 19 test (RTK) RM 150 Untuk Warga Labuan.
LABUAN: Klinik Surgeri Bakti salah sebuah klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) COVID 19 dengan kadar caj terendah iaitu RM150 seorang berbanding harga pasaran RM180 untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarah Urusan Klinik Surgeri Bakti Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Dr Ramli Tahir berkata, usaha untuk menurunkan caj perkhidmatan itu selepas mendengar rungutan warga Labuan terhadap kadar ujian saringan RTK-Ag yang terlalu tinggi khususnya mereka yang terpaksa melakukan rentas negeri bagi urusan kesihatan dan kecemasan keluarga yang berada di luar Labuan.
“Bagaimanapun kadar tawaran itu hanya diberikan kepada mereka yang dilahirkan di Labuan atau dengan alamat di Labuan seperti yang dinyatakan dalam kad pengenalan (IC) dan juga kakitangan kerajaan atau swasta yang berasal dari luar Labuan tetapi telah berkhdimat lama di Labuan” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran COVID 19 test (RTK) RM 150 Untuk Warga Labuan yang diadakan di perkarangan bangunan Klinik Surgeri Bakti di sini, baru-baru in.
SARINGAN….sebahagian warga Labuan yang ingin mendapatkan ujian RTK-Ag COVID 19 di Klinik Surgeri Bakti.
Majlis pelancaran dengan amalan norma baharu itu telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.
Jelas Dr. Ramli, usaha menurunkan caj perkhidmatan ujian saringan RTK-Ag itu telahpun dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu dan ia juga merupakan sebahagian daripada tanggung jawab sosial (CSR) klinik kepada masyarakat Labuan.
Menurut Dr Ramli, kos pengangkutan kit ujian dari Semenanjung ke Labuan adalah terlalu tinggi.
“Bagi mengurangkan kos, saya telah mengambil inisiatif untuk membawa kit ujian itu sendiri dari Semenanjung ke Labuan dan ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan caj pengangkutan dan menawarkan kadar yang lebih rendah kepada penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, Rozman ketika ditemui menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Klinik Surgeri Bakti dalam membantu meringankan beban rakyat Labuan khususnya mereka yang terpaksa mendapatkan ujian saringan COVID 19 sebelum dibenarkan rentas negeri bagi urusan kesihatan, kecemasan dan sebagainya.
“Saya telah mendengar rungutan rakyat terhadap kos ujian RTK-Ag yang agak tinggi di klinik swasta iaitu RM180 setiap individu… bayangkan jika mereka mempunyai tiga keluarga yang terpaksa rentas negeri atas urusan kecemasan berkaitan keluarga sudah tentu mereka terpaksa membayar kos yang lebih tinggi.
“Hari ini kita merasa bersyukur kerana Klinik Surgeri Bakti telah menawarkan kos yang lebih rendah dan berpatutan iaitu RM150 seorang” katanya.
Dalam waktu yang sama Rozman turut menyeru kepada warga Labuan untuk sama-sama mengambil vaksin COVID 19 bagi melindungi diri dan keluarga daripada jangkitan COVID 19 sekaligus membantu memutuskan rantaian wabak COVID 19 di negara ini.