26 C
Kota Kinabalu
Selasa, September 26, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

Klinik Bakat Bola Tampar Pantai Labuan

Midzmar Harun.

LABUAN: Seramai 80 peserta telah menyertai Klinik Bakat Bola Tampar Pantai “Road to SUKMA’ Sesi 1 yang diadakan di Gelanggang Bola Tampar Pantai (Ramsey Point), Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun, baru baru ini.

Menurut Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Bola Tampar, Midzmar Harun, turut menyertai program tersebut ialah 7 orang dari Biro Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Bola Tampar, Persatuan Bola Tampar Labuan.

Turut membantu beliau mengendalikan klinik tersebut ialah Cladius Upin Lonsiong Jr dari SMK Rancha-Rancha, Rhap Renold Imbul (SK Patau-Patau) dan Muhammad Mirwanuddeen Mat Ghani (SMK Pantai).

Katanya, Sesi 2 Klinik Bakat Bola Tampar Pantai anjuran LDA Holding Sdn Bhd, Majlis Sukan Labuan dan Persatuan Bola Tampar Labuan itu bakal diadakan pada 30 Oktober depan.

Tujuan program itu diadakan adalah untuk mencari pelapis baru, mencari pemain muda untuk program SUKMA pasukan Wilayah Persekutuan dan memperkenalkan sukan bola tampar pantai dalam kalangan pelajar yang berumur 13 hingga 18 tahun.

SEBAHAGIAN….. peserta yang menyertai Klinik Bakat Bola Tampar Pantai “Road to SUKMA’ Sesi 1 pada 10 Oktober lalu.

Beliau yang juga Ketua Jurulatih bagi program tersebut kini bertugas sebagai guru sukan dan Matematik di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT).

Antara pengalaman Midzmar ialah Penolong Jurulatih pasukan Bola Tampar Pantai Malaysia, Penolong Jurulatih Pra-SUKMA pasukan Labuan dan Penolong Jurulatih pasukan SUKMA Wilayah Persekutuan.

Beliau menaruh harapan program tersebut dapat melahirkan bakat baru bagi pelapis atlet bola tampar pantai pasukan SUKMA Wilayah Persekutuan.

“Saya yakin lebih ramai anak muda tempatan bakal mewakili pasukan SUKMA Wilayah Persekutuan dalam acara bola tampar pantai pada masa akan datang.

“Terima kasih juga buat ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menyertai program tersebut,”katanya.

Midzmar, 30 tahun yang dilahirkan di Kampung Muslim, WP Labuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Sains Sukan dan Rekreasi.

Beliau  turut memiliki Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1, pernah mewakili SUKMA Wilayah dalam acara Bola Tampar Pantai 2011, mewakili UITM di Kejohanan MASUM 2015 dan mewakili pasukan Bola Tampar Labuan di  Kejohanan Malaysia Open.

Sementara itu, Guru Besar SK Lubok Temiang, Haji Adam Abd Rahim melahirkan rasa bangga terhadap usaha yang ditunjukkan oleh guru SKLT yang bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada murid SKLT malah berkongsi ilmu dan kemahiran dengan komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN