28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

KKKSB perlu lebih maju untuk kebaikan para ahli: Dr Ramle

Dr Ramle (tiga kiri) dan yang lain menunjukkan koko yang ditanam anggota koperasi di sini pada majlis itu


RANAU: Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad (KKKSB) terus mempamerkan pencapaian positif dan ia perlu berkembang lebih maju lagi untuk kebaikan para ahlinya.


Ketua Pengarah, Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr. Ramle Haji Kasin berkata, perkara tersebut selari dengan dasar penubuhan KKKSB iaitu sebagai wadah bagi LKM meningkatkan pendapatan pengusaha koko dan coklat.


“Kini KKKSB telah mempunyai seramai 358 orang ahli yang terdiri daripada petani dan usahawan koko serta warga LKM.


“Dengan jumlah anggota yang terus meningkat, koperasi ini berpotensi untuk mengembangkan aktiviti untuk memberi manfaat kepada ahlinya,” kata beliau.


Antara lain aktiviti KKKSB ialah Pembelian dan penjualan biii koko kering; Penjualan produk berasaskan koko; Perkhidmatan sokongan pertanian dan perladangan; Perkhidmatan menyediakan tenaga kerja.


Beliau memberitahu bahawa Keuntungan Bersih KKKSB berdasarkan akaun teraudit pada tahun 2023 ialah RM167,005.73.


Dr. Ramle berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keempat KKKSB yang diadakan di Pejabat Unit LKM Ranau Sabah pada hari Khamis.


Di majlis itu, beliau sempat melawat Pusat Pengumpulan Biji Koko Kering LKM di Unit LKM Ranau, telah siap dibina pada November 2023 dengan peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah RMK-12.


Ianya berkonsepkan mobiliti, lengkap dengan kemudahan forklift, stor penyimpanan, serta mesin saringan biji koko kering.


Tambah Dr. Ramle, melalui kerjasama di antara LKM dan KKKSB, pusat ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi untuk memudahkan dan meningkatkan aktiviti pengumpulan dan pemprosesan biji koko serta aktiviti pembelian dan penjualan biji koko kering.


Koperasi kini mempunyai pengaruh untuk tawarmenawar harga biji koko kering dengan pihak pembeli.


Beliau turut mencadangkan agar KKKSB memperluaskan lagi aktiviti perniagaannya seperti perkhidmatan homestay, penyewaan kenderaan pengangkutan kereta dan lain-lain perkhidmatan yang diperlukan oleh pelawat dan penduduk setempat.

Dr Ramle (empat kanan) dan penerima anugerah koko semasa program yang diadakan di sini pada Khamis


“Koperasi ini juga perlu sentiasa terlibat dengan pameran dan jualan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta bagi memperkenalkan lagi nama KKKSB dan seterusnya menjana pendapatan dari hasil jualan.


“KKKSB perlu menjalinkan kerjasama yang baik dengan SKM dan ANGKASA kerana agensi ini mempunyai dana daripada kerajaan untuk membangunkan koperasi dari segi peluang perniagaan, bantuan kewangan, khidmat nasihat, latihan dan pemasaran,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kompleks Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) dijangka siap pada tahun 2025 di Napong, Ranau.


Dalam masa terdekat, katanya, LKM dan KKKSB perlu berbincang dengan lebih lanjut untuk menjadikan RHCC sebagai One Stop Centre yang boleh menjana pendapatan KKKSB melalui kutipan yuran kemasukan pelawat.


“KKKSB juga boleh menjadikan RHCC sebagai tempat persinggahan orang ramai dengan menyediakan kemudahan asas seperti tandas, kedai makan dan stesen minyak.


“Di samping itu, koperasi ini juga boleh menggunakan kemudahan tapak semaian atau nurseri yang telah tersedia di RHCC bagi menjalankan perniagaan bekalan anak pokok koko,” katanya.


Di majlis itu juga Dr. Ramle menyampaikan anugerah kepada empat tokoh penanaman koko terbaik di kawasan ini yang melibatkan kategori Kelompok Terbaik, Ketua Kelompok Terbaik, Petani Terbaik dan Hasil Biji Koko Kering Tertinggi.


Kelompok Terbaik dimenangi oleh Kelompok Kg. Kuala Monsok Tambunan, sementara untuk kategori Ketua Kelompok Terbaik dimenangi oleh Tarisa @ Terisah Kuding.


Anugerah Bagi Kategori Hasil Biji Koko Kering Tertinggi dimenangi oleh Ketua Kelompok Kampung Kokob Ranau, Sualih Biun yang merupakan seorang pesara kerajaan dan mula melibatkan diri dalam tanaman koko pada Tahun 2002 sehingga kini.


Dengan Keluasan kebun seluas 2 hektar Sualih berhasil meraih pendapatan sebanyak RM16,702.45 dengan berat biji koko kering 1,015.47 kilogram.


Pemenang Bagi kategori Petani Contoh ialah Bideh@Bidi Bongkok yang merupakan anak Jati Ranau berasal dari Kg. Tambiau Ranau dan juga merupakan seorang pesara kerajaan.


Bidi mula terlibat dengan program Lembaga Koko pada Tahun 2008 sehingga kini, dan kini beliau telah menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengelola Lembaga Koko Malaysia Merangkap Yang dipertua Persatuan Penanam Koko Daerah Ranau dan menjadi salah seorang Ahli Lembaga Pengelola KKKSB.


Dr. Ramle mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Penerima dan Pemenang Anugerah kali ini, dan berharap agar pengiktirafan ini dapat menyuntik semangat para petani koko di sini, seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dengan mencapai sasaran hasil yang optimum.


“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan pekerja KKKSB di atas amanah dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan,” jelas beliau.


Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maznah Abdul, Pengarah Pemindahaan Teknologi dan Pengembangan Abdul Karem Che Hamid, Pengarah Bioteknologi merangkap Pengerusi KKKSB Dr. Albert Ling Sheng Chang, barisan ALK dan anggota KKKSB, Petani Koko LKM dan lain-lain.

1 – Dr Ramli (tiga kiri) dan yang lain menunjukkan koko yang ditanam anggota koperasi di sini pada majlis itu
2 – Dr Ramle menyampaikan anugerah Peladang Terbaik kepada Bidi, sambil diperhatikan oleh yang lain-lain
3 – Dr Ramle (tengah) dan lain-lain yang menghadiri program yang diadakan di sini pada Khamis
4 – Dr Ramle (empat kanan) dan penerima anugerah koko semasa program yang diadakan di sini pada Khamis

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN