27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kikis tanggapan, anak mampu bina kehidupan tanpa akademik

Oleh: Cleo Will

RANAU: Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir menggesa para ibu bapa supaya mengikis tanggapan bahawa walaupun anak-anak mereka tidak mendapat keputusan akademik yang baik di peringkat sekolah, mereka masih mampu membina kehidupan yang baik di masa akan datang.

“Ya memang ada individu-individu yang kita lihat hari ini yang tidak mempunyai keputusan akademik semasa sekolah namun dapat membina kehidupan yang baik kepada diri sendiri dan keluarga. Tetapi berapa ramai lagi yang tidak berjaya dan hidup dalam keadaan susah?

“Dan jika ini menjadi norma yang diikuti oleh semua pelajar, siapakah yang akan mengambil tempat sebagai penjawat-penjawat awam, menjadi doktor, peguam, guru dan juga pemimpin di masa akan datang?

“Sebab kerjaya-kerjaya ini dan banyak lagi di luar sana, memerlukan kelayakan akademik yang baik di kalangan penjawatnya. Siapakah yang akan menjadi pemimpin kita di masa akan datang jika semua target untuk menjadi peniaga dan peladang sahaja?”soal beliau.

ABIDIN (kanan) ketika tiba di majlis itu

Abidin berkata tidak salah jika para pelajar hari ini mempunyai cita-cita untuk menjadi peniaga, peladang, pengusaha sawit dan sebagainya, tapi janganlah abaikan pelajaran kerana dengan kelulusan akademik yang baik, ini akan menjadikan mereka usahawan yang lebih berjaya di suatu hari kelak.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Mesyuarat Tahun 2020 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Matupang Jaya di Dewan Terbuka Semanja di sekolah tersebut pada hari Khamis lepas.

Dalam program tersebut, beliau meluluskan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada PIBG sekolah berkenaan bagi tujuan menguruskan segala perancangan yang telah ditetapkan oleh persatuan dan juga pihak sekolah pada tahun ini.

Sementara itu, Pengetua Sekolah SMK Matupang Jaya Lamri Dikun berkata, di sekolah itu pelajar-pelajar telah bahagikan kepada lapan zon mengikut kawasan-kawasan yang terlibat di mana setiap zon terdapat guru-guru mentor serta jawatankuasa khas yang mengurus zon masing-masing.

ABIDIN berucap di majlis itu

Salah satu dari fungsi zon ini adalah untuk menangani kes-kes disiplin pelajar, di mana setiap kes tidak lagi diurus oleh pihak sekolah tetapi oleh ibu bapa yang menjadi ahli di dalam jawatankuasa di dalam zon-zon tersebut.

Ini membolehkan guru-guru di sekolah ini untuk fokus kepada tugasan mengajar sahaja dan tidak terbeban dengan hal-hal yang diuruskan oleh jawatankuasa zon-zon terbabit melaui biro-biro yang ditubuhkan dalam badan tersebut.

Sebahagian ibu bapa yang hadir

“Pihak sekolah memberikan kuasa sepenuhnya kepada ibu bapa untuk mengambil tindakan yang sepatutnya di dalam zon mereka masing-masing berlandaskan format panduan yang telah pihak sekolah berikan kepada semua jawatankuasa zon-zon.

“Dan selagi sesuatu hal tidak diselesaikan di peringkat zon itu, pihak sekolah tidak akan membenarkan pelajar terbabit untuk meneruskan pembelajaran seperti biasa sehinggalah kes mereka ditangani oleh jawatankuasa zon,” jelas Lamri.

Lamri (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abidin

Pihak ibu bapa dapat bersama-sama untuk menangani masalah anak-anak pelajar mereka dan ini dapat mengikis tanggapan segelintir ibu bapa yang cenderung untuk meletakkan sepenuhnya tanggungjawab menguruskan pelajar di bahu guru-guru.

“Dengan adanya inisiatif seperti ini kita mengharap agar para ibu bapa tidak sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada pihak sekolah dan lepas tangan terhadap aspek ini.

ABIDIN (beridiri kelima kanan) bergambar bersama sebahagian warga sekolah dan AJK PIBG

“Dan yang lebih penting lagi, dengan adanya usaha sebegini kita yakin bahawa pencapaian pihak sekolah akan lebih cemerlang dan meneruskan peningkatan akademik di sini.

“Di samping melihat peningkatan kepada kehadiran para pelajar yang mencecah 93 peratus setiap bulan berbanding sebelum ini. Kita juga mengharapkan agar ini dapat memastikan kesinambungan peningkatan akademik sebanyak 0.3 peratus yang kita capai pada tahun lalu,” jelas beliau. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN