Dsp menyerahkan bendera jalur gemilang kepada pemimpin kampung di daerah tambunan
TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan hari ini merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Tambunan 2025 yang berlangsung di Balai Raya Kampung Kepayan Lama.
Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh rakyat menghayati tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia Madani, Rakyat Disantuni”, dengan memperkukuh semangat kemerdekaan serta menjaga perpaduan negara.
“Marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah dengan penuh bangga kerana Sabah adalah rumah kita, dan tugas kita adalah menjaganya dengan cinta dan tanggungjawab,” katanya sambil menggalakkan penyertaan dalam inisiatif Satu Rumah Dua Bendera.
Beliau turut menekankan kepentingan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara bukan sekadar dihafal tetapi dipraktikkan, bagi memastikan perpaduan kekal utuh dan mengelakkan berulangnya tragedi perpecahan seperti 13 Mei 1969.
Dr. Jeffrey turut mengingatkan bahawa isu-isu sensitif berkaitan 3R – Raja, kaum dan agama – tidak harus dijadikan bahan perbalahan, khususnya di media sosial, kerana ia boleh mengugat keharmonian masyarakat majmuk.
Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Sabah dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan, GLC dan pihak swasta itu turut meraikan pasukan konvoi KMJG yang menjelajah seluruh Sabah bagi menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Beliau menutup ucapannya dengan harapan agar KMJG terus menjadi simbolik semangat kemerdekaan dan perpaduan, di samping mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Oleh Javier Hosteen



