GAMBAR ATAS : Salah sebuah rumah yang dinaiki air dalam kejadian itu – Foto: Penduduk kampung, Bomba dan Rela
0leh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Kampung Paus, terletak kira-kira 60 Kilometer dari pekan di sini, dilanda banjir kilat pada Isnin lalu.
Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 7 hingga 10 malam itu menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air.
Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton, ketika dihubungi berkata, maklumat daripada penduduk kampung mengatakan, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan yang berterusan di kawasan itu menyebabkan paras air sungai Pongotod naik mendadak.
PUNCA.. timbunan batang pokok yang menjadi punca kalbut teesumbat
“Menurut penduduk kampung, keadaan itu diburukkan lagi apabila kalbut utama sedia ada tersumbat dengan batang kayu yang dihanyukan arus deras.
“Akibat daripada air sungai yang naik mendadak seterusnya melimpah hingga ke paras jalanraya, beberapa buah rumah di kampung itu dinaiki air.
“Keadaan kembali pulih selepas banjir mulai surut kira-kira 10 malam,” katanya kepada media hari ini.
BANTUAN…kelihatan anggota Bomba dan RELA membantu mengalihkan dan membuang kayu yang menyebabkan kalbut tersumbat
Menurut DSP Sammy lagi, tiada operasi menyelamat diaktifkan. Bagaimanapun katanya, beberapa anggota polis dikerah ke lokasi untuk melakukan pemantauan.
“Mujur dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Bagaimanapun, berlaku kerosakan harta benda, namun anggaran kerugian belum dilaporkan” jelasnya.
Media juga dimaklumkan, anggota Bomba dan RELA turut berada dilokasi untuk memberi bantuan.