Rubin Balang……Kalimaran eratkan perpaduan.
TENOM : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan merasmikan perayaan Pesta Kalimaran peringkat Daerah Tenom yang diadakan di Dewan Seri Ontoros, Kemabong di sini pada 31 Mac ini.
Pesta ini diadakan selepas hampir dua tahun tidak disambut disebabkan pandemik COVID-19, kata Presiden Persatuan Murut Sabah, Datuk Rubin Balang di sini
Katanya, sambutan kali ini agak sedikit berlainan berbanding dahulu kerana rakyat harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19.
“Namun, sambutan perayaan Pesta Kalimaran ini tetap akan diadakan bagi menghormati, mengeratkan perpaduan, memartabatkan budaya suku kaum Murut dan mengekalkan adat tradisi budaya masyarakat Murut agar tidak luput dari ditelan zaman.
“Budaya dan adat resam ini perlu dipelihara dan diwarisi oleh masyarakat khususnya di kalangan masyarakat Murut terutamanya kepada generasi muda.
“Suasana sambutan tahun ini juga diadakan secara sederhana tetapi berskala besar dan mengikut norma baharu kerana pandemik Covid-19 membataskan pergerakan dan masih agak membimbangkan sedikit kepada masyarakat setempat,” katanya.
Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong berkata, tema sambutan Pesta Kalimaran kali ini adalah bertemakan ‘Mempertahan Adat Istiadat dan Adat Resam Suku Kaum Murut’.
“Bagi menyokong sambutan kali ini, saya menggalakkan masyarakat setempat daerah ini agar memakai pakaian tradisi Murut sebagai simbol adat budaya masyarakat Murut yang kaya dengan warisan kesenian pada Pesta Kalimaran itu nanti.
“Selain Pesta Kalimaran, saya juga mengalu-alukan kehadiran masyarakat di sekitar pedalaman untuk memeriahkan lagi Pelancaran Pemasaran Kamus Murut Tahol pada 26 Mac depan sebelum sambutan Pesta Kalimaran di Dataran Kemabong dan Dewan Ontoros Kemabong.
Antara pengisian aktiviti yang dijangka berlangsung termasuklah persembahan lagu tradisi suku kaum Murut, peragaan pakaian tradisi sub-etnik suku kaum Murut, anugerah khas Tokoh Kalimaran, pertandingan cerita lagenda suku kaum Murut dan banyak lagi.-habis-