Rahmahjan bersalam-salaman dengan pengunjung majlis rumah terbuka itu.
TENOM: Ketepikan ideologi politik dan perbezaan kaum serta kepercayaan dalam menyambut mana-mana perayaan di negara ini.
Timbalan Pengerusi Penjanaan Ekonomi Hawa Malaysia Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, negara Malaysia khususnya di Sabah mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama namun tetap hidup aman dan harmoni.
Katanya, keamanan dan keharmonian yang sedia terjalin ini jangan digugatkan oleh perbezaan ideologi politik dan kepercayaan.
Rahmahjan yang juga Ketua Pergerakan Umno Bahagian Tenom berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Hawa di dewan SJKC Tsi Sin di sini pada Sabtu.
“Kita tidak mahu keamanan dan keharmonian yang diwarisi daripada pemimpin-pemimpin terdahulu tergugat disebabkan perbezaan ideologi politik dan kepercayaan kita” katanya.
Mengulas kehadiran lebih kurang 5,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama pada majlis rumah terbuka itu Rahmahjan berkata, ia sungguh meriah dan mencerminkan betapa suburnya perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat di daerah Tenom.
“Ini boleh menjadi contoh kepada masyarakat lain kerana masyarakat di daerah ini begitu faham betapa pentingnya perpaduan dan keharmonian itu perlu dipertahankan, mereka juga saling hormat menghormati di antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum dan agama serta faham politik” jelas Rahmahjan.
Katanya, ini terbukti dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Cina dan lain-lain terutama masyarakat Murut yang majoriti di daerah ini.
Beliau berkata, apabila ada jemputan pada majlis rumah terbuka anjuran mana-mana pemimpin di daerah ini, masyarakat di sini membelakangkan fahaman politik masing-masing dan bersama-sama merayakan apa juga perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina dan lain-lain perayaan.
“Inilah keunikan masyarakat di daerah ini, mereka saling memahami diantara satu dengan yang lain” katanya.
Majlis rumah terbuka itu dimeriahkan dengan persembahan hiburan dikalangan masyarakat yang selain lagu-lagu raya yang berkumandang.
Pada majlis itu Rahmahjan menyampai duit raya kepada lebih 200 kanak-kanak yang hadir bersama dengan ibu bapa mereka.