33 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kesiapsiagaan polis mempastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin suatu ibadah: DSP Simiun

DSP Slmiun Lomudin bersama Pegawai Kanan dan Anggota PDRM IPD Ranau serta Umat Kristian SIB Kg.Takutan menyempurnakan upacara sembahyang khas sempena peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun.

RANAU: Slogan “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada” bukan sahaja boleh diserlahkan melalui perkhidmatan kepolisan untuk mengekalkan ketenteraman awam kepada masyarakat malah melalui ibadah keagamaan.

Menyatakan perkara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, kesiapsiagaan pihak polis untuk mempastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin adalah suatu ibadah yang menjadi amanah untuk dilaksanakan secara ikhlas dan suci hati.

“Justeru itu, saya bersama-sama sekumpulan Pegawai Kanan dan Anggota PDRM dari IPD Ranau menyantuni masyarakat dalam upacara keagamaan untuk menunjukkan komitmen kami sebagai badan penguatkuasa undang-undang di negara ini”. Tegasnya ketika berucap sempena Upacara Sembahyang Khas Agama Kristian Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg.Takutan disini pada Ahad.

Dalam majlis itu, seramai lebih kurang 30 orang terdiri daripada Pegawai Kanan, Anggota, kakitangan awam dan ahli keluarga PDRM IPD Ranau yang beragama Kristian telah menyertai sembahyang khas bersama komuniti Kristian SIB dari sekitar kampung tersebut.

DSP Simiun Lomudin menyampaikan cendera kenangan daripada PDRM IPD Ranau kepada Pentua Lamiri Sitih.

Dalam masa sama, Simiun turut menasihatkan agar komuniti gereja turut menjalin kerjasama rapat dengan pihak polis bagi membendung perilaku jenayah dan gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat.

Katanya, suasana harmoni perlu dipertahankan dan melalui pengajaran agama ia mampu membentuk sahsiah diri kelompok masyarakat yang sentiasa mematuhi undang-undang sekaligus mewujudkan persekitaran selamat dan bertoleransi sesama mereka.

“Saya bersyukur, kerana komuniti masyarakat di Kg.Takutan ini belum pernah kedengaran disabitkan dengan kesalahan jenayah serius atau gejala sosial lain. Ia suatu yang membanggakan saya sebagai anak jati kampung ini dan saya akan terus mempastikan ia kekal sampai bila-bila”. Jelasnya.

Upacara Sembahyang Khas Agama Kristian sempena memperingati sambutan Hari Polis Ke-215 Tahun merupakan program tahunan PDRM yang membabitkan semua Pegawai Kanan, Anggota, Kakitangan Awam serta ahli keluarga yang menganut agama tersebut.

Dalam majlis tersebut, Pegawai dan Anggota PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau yang beragama Kristian turut membuat persembahan khas dengan menyanyikan dua buah lagu rohani yang memukau semua umat yang hadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ASP Jailix Amindang, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Lesius Drunnsung, Pengerusi Penyelaras Sembahyang Khas Agama Kristian PDRM Ranau, ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ranau, Penatua Lamiri Sitih, Pengerusi Majlis Gereja SIB Kg.Takutan dan Pastor Dason Yalif, Pensyarah Maktab Teologi Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN