Georgina
RANAU: Setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah fenomena ‘Jemm’ (kesesakan lalulintas) akan terjadi di daerah Ranau di mana ia memberi kesan yang negatif kepada semua pihak, terutama sekali pengguna jalan.
Ketua UPKO Bahagian Ranau merangkap Pengerusi Persatuan Masyarakat Prihatin Ranau, Georgina George berkata, kejadian ini juga berlaku pada hari-hari biasa terutama pada waktu kemuncak iaitu pagi dan petang tapi paling teruk musim perayaan atau cuti.
“Sabtu minggu lepas ada kawan-kawan yang balik Ranau dari Kota Kinabalu mengambil masa sehingga 8 jam. Perjalanan sebegini sama seperti memandu daripada Johor ke Penang.
“Selain jumlah kenderaan yang bertambah banyak serta keadaan jalan raya yang sama sejak berdekad-dekad, kesesakan juga terjadi kerana kebergantungan yang sangat tinggi kepada jalan Pekan Ranau-bulatan Marakau.
“Saya pernah cadangkan untuk bina jambatan di Kg. Badukan sebagai jalan alternatif, namun sehingga kini masih belum dibina. Banyak sudah kereta terlanjur melalui jalan itu kerana dalam google map kelihatan seperti ada jambatan, tetapi hakikatnya, ia hanyalah jambatan gantung dan bukan jambatan kereta,” katanya.
Tambah Georgina, apa yang diperlukan untuk mengatasi kesesakan di pekan Ranau dan kebergantungan yang sangat tinggi kepada jalan pekan Pekan Ranau-bulatan Marakau yang dikenalpasti sebagai penyumbang kepada kesesakan di Ranau, ialah laluan alternatif.
“Pendapat saya sebagai pengguna utama jalanraya yang selalu kena jam di Ranau ialah membina jambatan di Kg. Badukan. Dengan ini, penduduk Kg Badukan, Kigiok, Kinapulidan, Kituntul Lama tidak perlu lagi guna jalan Pekan Ranau-bulatan Marakau.
“Pengguna jalan raya dari arah Jalan Sandakan atau Lohan yang mahu ke Tambunan/Keningau/Tenom dan kawasan-kawasan pendalaman boleh menggunakan jalan Tanah Merah-Badukan dan keluar di Jalan Ranau-Tambunan,” katanya.
Beliau menambah, perlu juga dinaiktaraf (Aspal) Jalan Muruk-Marakau kerana jalan ini boleh menjadi alternatif kepada pengguna Jalan Sandakan-Ranau dan bagi pengguna dari jalan Sandakan ke daerah-daerah pendalaman, boleh guna jalan Muruk-Marakau-Badukan-Jalan Ranau-Tambunan.
Tambahnya, jalan Tambiau-Sarapung-kenipir juga perlu dinaiktaraf kepada permukaan aspal kerana pengguna dari Kundasang yang mahu balik ke arah jalan Ranau-Tambunan boleh guna jalan ini.
Pengguna dari Kundasang/Kibbas/Purakagis yang balik ke Taman Saujana, Kg. Tiang Baru, Pasir Putih, Matan atau ke daerah-daerah pendalaman boleh guna jalan tersebut tanpa perlu melalui pekan Ranau.
Selain itu, Georgina juga menyarankan penyelenggaraan jalan-jalan alternatif yang sedia ada dengan lebih kerap.
“Jalan Bundu Tuhan-Randagong perlu penyelenggaraan yang lebih kerap kerana sering berlaku runtuhan tanah dan jalan. Demikian juga jalan Mohimboyon-Kibbas. Ringroad Tanah Merah-Badukan juga perlu diselenggara dan dilebarkan.
“Jalan Kauluan-Ranau yang kini sudah dalam fasa naiktaraf juga merupakan jalan alternantif yang boleh digunakan oleh pengguna dari Kundasang ke Ranau,” kata beliau.
Tambahnya lagi, keadaan jalan raya yang sesak bukan sahaja merugikan masa pengguna jalan raya tetapi juga merugikan ekonomi penduduk setempat terutamanya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan kerana pelancong tidak mahu berkunjung ke daerah Ranau kerana kesesakan yang sangat teruk.
“Ranau mempunyai ramai wakil rakyat dan ada yang berportfolio tinggi. Sebagai rakyat kita berharap mereka dapat melakukan sesuatu untuk membantu mengatasi masalah kesesakan jalan ini,” jelas beliau.