32 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kes Penderaan kanak-kanak tarik perhatian pengamal undang-undang

ERVEANA ANSARI Pengerusi Biro Undang-UndangWanita Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Baru baru ini netizen menjadi riuh akibat satu video yang tular di media sosial berkenaan seorang pengasuh wanita di sebuah taska yang dilihat sedang mendera seorang kanak kanak lelaki yang berumur 4 tahun.

Disamping itu juga tular satu video di mana kelihatan ibu bapa kanak kanak yang didera tersebut berdepan dengan pengasuh yg telah mendera anak mereka.

Dalam video tersebut kelihatan ayah mangsa hilang pertimbangan lalu memukul dan menampar pengasuh tersebut beberapa kali. Ayah mangsa juga dilihat telah menampar seorang wanita berbaju putih yang cuba menyabarnya.

Maklumat dari berita mengatakan dua (2) kertas siasatan telah dibuka. Satu di bawah seksyen 31(1) (a) Akta Kanak kanak 2001 untuk pengasuh yang mendera kanak kanak tersebut dan satu lagi di bawah seksyen 323 kanun keseksaan Jenayah untuk ayah kepada mangsa penderaan tersebut.

Saya terpanggil untuk memberi pandangan dari segi undang undang dan juga pandangan dan kata hati dari seorang ibu yang mempunyai 3 orang anak.

Saya yakin ramai netizen telah menyuarakan pendapat mereka mengenai hukuman setimpal yang patut dijatuhkan terhadap pengasuh tersebut dan ayah mangsa. Di dalam kes penderaan kanak kanak yang berumur 4 tahun yg telah didera di sebuah Taska di luyang, kes akan dituduh di bawah Seksyen 31(1) (a) akta kanak kanak 2001 (Akta 611).

BAB 3

KESALAHAN BERHUBUNG DENGAN KESIHATAN DAN KEBAJIKAN KANAK KANAK

Penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak kanak

  1. (1) Mana mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak kanak-

(a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai,diabaikan,dibuang atau didedahkan sedemikian; atau

(b) yang menganiayai dari segi seks kanak kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkan dianiayai sedemikian. Melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit tau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua duanya.

Berpandukan dengan apa yang terkandung di dalam seksyen 31 (1) (a) Akta kanak kanak 2001 di atas memandangkan mangsa telah mengadu berulang kali didera bermula dari bulan mac dan penderaan diberitahu kepada ibu bapa dan direkod oleh ibu bapa mangsa (dan jika perkara ini dapat dibuktikan di mahkamah sewaktu perbicaraan nanti), hukuman yang diberikan kepada pengasuh tersebut sudah pastinya harus melibatkan semua kejadian penderaan yang berlaku dan bukan sahaja kejadian penderaan yang sedang tular di media social sekarang.

Jika dilihat dari video yang dimuat naik selama lebih kurang 4 minit di youtube, kita boleh lihat bagaimana mangsa didera dengan teruk berkali kali di hadapan kanak kanak yang lain (sewaktu hendak makan) dan terlihat seperti:

i) ditendang di bahagian perut/dada,

ii) ditampar dengan kuat menggunakan tangan di bahagian muka mangsa berkali kali,

iii) ditarik rambut dengan kuat

iv) dipukul dengan kuat di bahagian tangan/badan dan kepala menggunakan pembaris sehingga terbaring di kerusi

v) ditumbuk di kepala berkali kali dan dipukul di kepala menggunakan buku kuning.

Bayangkan kesengsaraan fizikal dan ‘psychological trauma’ mangsa yang berumur 4 tahun dalam masa 4 minit sahaja oleh pengasuh yang tidak berperikemanusiaan tersebut. Bayangkan apa yang dilaluinya selama 5 bulan berada di taska tersebut. Kesan kesan penderaan telah direkod oleh ibunya selama 5 bulan (setiap kali beliau bertanya kepada pihak taska beliau diberitahu anaknya bergaduh dengan budak budak taska yang lain).

Saya yakin sesiapa pun majistret atau hakim yang mendengar kes ini akan mengenakan hukuman penjara yang seberat beratnya kepada pengasuh tersebut.

Dalam pengalaman saya, jika disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 31(1) (a) Akta kanak kanak di mana penderaan dilakukan berulang ulang kali dan mangsa menghadapi banyak kecederaan (fizikal dan mental), pendera akan dikenakan hukuman penjara di antara 10 hingga 15 tahun.

Bagi pendapat saya, walaupun pengasuh di dalam kes ini mengaku bersalah, hukuman penjara minimum yang patut dikenakan ke atas pengasuh tersebut tidak sepatutnya kurang dari 10 tahun hukuman penjara.

Ini adalah kerana kes penderaan ini melibatkan penderaan yang lebih dari satu insiden seorang kanak kanak yang berumur 4 tahun. Kesan negatif dari segi fizikal, mental dan emosi akan menghantui kanak kanak tersebut sepanjang hayatnya. Ibu bapa dan ahli ahli keluarga mangsa yang lain juga turut mengalami tekanan mental dan emosi akibat dari penderaan mangsa.

Tambahan lagi penderaan yang dapat dilihat dari video yang dimuat naik selama 4 minit itu (sekiranya didapati tidak diedit dan sahih oleh mahkamah) adalah penderaan fizikal berulang ulang dan serius. Perlu diingatkan bahawa kes penderaan kanak kanak telah meningkat dengan dengan mendadak walaupun Parlimen telah meningkatkan hukuman dibawah seksyen 31 (1) (a) akta Kanak kanak 2001 pada 2016.

Di samping itu kes kematian kanak kanak akibat dari penderaan adalah lebih kurang 220 kes dalam masa 4 tahun ini. Hukuman penjara yang ringan tidak akan berupaya menakutkan pendera kanak kanak untuk berhenti mendera atau menakutkan mereka yang ada niat untuk mendera di masa akan datang.

Seperti yang kita sedia maklum, kanun keseksaan (Jenayah) itu diwujudkan untuk melindungi masyarakat umum dari jenayah dan bahaya yang disebabkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Disebabkan kes penderaan kanak kanak meningkat di abad 2000, kerajaan telah membuat pindaan ke atas seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001 pada tahun 2016 (akta 611) dan menaikkan hukuman bagi kes penderaan kanak kanak dari denda 20 ribu ringgit maksimum ke 50 ribu ringgit maksimum dan hukuman penjara dari 10 tahun maksimum kepada 20 tahun maksimum, kes penderaan kanak kanak terus meningkat dan mencapai sebanyak lebih 1055 kes dari bulan Januari 2022 ke bulan Jun 2022 (Data dari Kementerian Pembangunan wanita, keluarga dan Masyarakat).

Sebagai seorang ibu yang juga seorang peguam, saya berpendapat hukuman yang sekeras kerasnya patut dijatuhkan terhadap pengasuh di dalam kes ini.

Untuk ayah mangsa pulak, sebagai seorang ibu saya amat berharap pihak pendakwa tidak mendakwa ayah mangsa dibawah seksyen 323 kanun keseksaan.

Sesiapa pun ibu atau bapa yang melihat kejadian anak mereka didera seperti di dalam kes ini akan hilang pertimbangan dan mengamuk jika mendapat tahu anak mereka didera sedemikian rupa.

Walaubagaimanapun saya benar benar berharap walaupun ayah mangsa dituduh di bawah seksyen 323 kanun keseksaan, akan ada ramai peguam yang akan menampilkan diri untuk membela ayah mangsa atas dasar pro bono.

Dan jika ayah mangsa didapati bersalah atau disabitkan dengan kesalahan, saya doakan beliau diberi hukuman bon berkelakuan baik selama 1 tahun dengan 1 penjamin tempatan tanpa perlu membayar denda. Semoga anak anak kita dilindungi Allah dan pendera kanak kanak diberi hukuman yang setimpal.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN