34 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan terus mengambil langkah bantu rakyat yang terbeban kenaikan harga barang: Abidin

Abidin dan yang lain menunjukkan beberapa barang yang dijual dalam program tersebut

RANAU: Kenaikan harga barang yang bukan sahaja berlaku di negara ini malah di peringkat global antara kebimbangan utama kerajaan masa kini yang terus mengambil langkah membantu rakyat yang terbeban dengan perkara itu.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, antara langkah yang diambil ialah mengadakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) yang menawarkan penjualan barangan keperluan pada harga rendah sehingga 20 peratus.


“Melalui PJMKM, Kerajaan telah menurunkan harga barangan keperluan sehingga 20 peratus dan ia disasarkan kepada kategori B40 dan golongan berpendapatan rendah lain. Kita berharap ini dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan golongan sasar.


“Sebanyak lapan jenis bahan makanan asas tersenarai dalam jualan PJMKM iaitu beras, gula, minyak masak, tepung, telur, ayam, ikan dan sayur-sayuran serta buah-buahan. Selain itu, ada juga yang menjual sayur-sayuran segar dan beberapa produk SME tempatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PJMKM Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan yang diadakan di Agro Bazar Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, cawangan Daerah Ranau, di sini, pada Sabtu.


Mengalu-alukan program seumpama ini, Abidin berkata walaupun program itu pada awalnya dijadualkan pada tahun ini sahaja, beliau percaya kempen itu akan dilanjutkan lagi ke tahun hadapan demi kebaikan rakyat.


“Ini penting supaya rakyat yang jelas terbeban dengan kenaikan kos sara hidup hari ini terus dipedulikan oleh kerajaan, kerana apabila rakyat gembira barulah pemimpin gembira,” katanya.


Selain itu, beliau juga berharap semua usahawan dapat menjual barangan pada harga berpatutan dan tidak mengambil kesempatan terutamanya barangan yang agak terhad pengeluarannya ketika ini seperti telur ayam, daging, minyak masak dan lain-lain.


Abidin yang juga Adun Paginatan mengucapkan terima kasih kepada Pengurus Besar Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Muhammad Irwan Maruji, kerana menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menjayakan program itu.


Sementara itu, Muhammad Irwan berkata, PJMKM di Dun Paginatan mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada pengguna di sekitar kawasan itu dengan orang ramai beratur seawal jam 6.00 pagi untuk berpeluang membeli produk mereka.


Di Sabah, program itu dilaksanakan di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilaksanakan serentak mengikut daerah, dan bagi Ranau ketiga-tiga DUN iaitu Karanaan, Kundasang dan Paginatan telah mengadakan program itu.


Turut hadir Ketua Daerah, Muhasip Hj Ruman, Pegawai FAMA Ranau, Sahirin Bin Omar, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Japili Sigal, Pemaju Mukim dan pemimpin tempatan yang lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN