KOTA KINABALU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) menyokong penuh cadangan kerajaan negeri membeli vaksin covid-19 terus dari pembekal tanpa mengharapkan bekalan daripada kerajaan pusat yang ternyata lambat membuat pengagihan vaksin tersebut.
Presidennya James Baga (gambar) berkata, Kerajaan Negeri Sabah lebih daripada mampu membeli vaksin sendiri untuk menampung keperluan penduduknya.
Katanya bekalan vaksin yang tidak mencukupi untuk keperluan pengguna di negeri ini amat ketara sekali sehinggakan berberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpaksa ditutup sejak beberapa hari yang lalu.
“Jika keadaan ini dibiarkan, sudah pasti akan membantut usaha kerajaan negeri dalam mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok pada penghujung tahun ini.
“Mengikut rekod Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang terbaru, Sabah merupakan negeri yang paling sedikit peratusan penerima vaksin Dos Pertama dengan mencatatkan hanya 9.60 peratus berbanding dengan negeri jiran Sarawak yang merekodkan 35.22 peratus.
“Begitu juga bilangan yang mendaftar di Sabah hanya 31.9 peratus berbanding Sarawak yang sudah jauh ke depan dengan pencapaian 80.09 peratus.
“Ini menunjukkan masih ramai rakyat Sabah yang belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin covid-19,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Justeru katanya, kerajaan perlu memikirkan mekanisme holistik dalam mendekati rakyat yang masih skeptikal dan merasa was-was terhadap keberkesanan dan keselamatan suntikan vaksin covid-19.
“Advokasi yang berterusan tentang pentingnya setiap individu yang layak mengambil imunisasi perlu dipertingkatkan bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat kebangsaan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh negatif tentang vaksin yang tular dalam media-media sosial serta sikap masyarakat tunggu dan lihat merupakan antara faktor penyumbang kepada peratusan pendaftaran yang rendah di negeri ini.
“Justeru, badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu dilibatkan secara sepadu dengan pemberian sedikit dana khas agar mereka juga dapat memainkan peranan dan bergerak bersama-sama membantu menjayakan program imunisasi covid-19 ini,” katanya.
Selain itu jelasnya, semua pemain industri sama ada perkilangan atau perkhidmatan perlu mewajibkan suntikan vaksin covid-19 itu sebagai pra-syarat utama sebelum seseorang individu diterima atau dibenarkan berkerja dengan mereka.
“Team Trak Vaksin Bergerak (TVB) juga perlu diwujudkan di negeri ini untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk perkampungan luar bandar khususnya di kawasan-kawasan pendalaman bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat untuk datang ke Pusat Pemberian Vaksin.
“Dengan cara ini secara tidak lansung dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin di seluruh negeri,” jelasnya.
James juga berkata, pada masa yang sama, CAPS amat mengalu-alukan pengumuman kerajaan berhubung dengan kelonggaran SOP di negeri ini.
Jelasnya, tindakan kerajaan kena pada tempat dan masanya kerana ianya memberi ruang kepada rakyat untuk membina semula kehidupan baru selepas mengalami penderitaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan.
“Kerajaan pusat perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dan menggangap tindakan kerajaan negeri ini sebagai langkah positif kearah pemulihan ekonomi yang terjejas selama ini.
Saya yakin barisan kepimpinan negeri yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Hajiji Noor mampu mengekang pandemik COVID-19 dengan pendekatan seimbang menjaga keselamatan rakyat disamping menjamin kelangsungan ekonomi negeri selepas beberapa sektor perusahaan dan perkhidmatan dibuka secara berperingkat,” tambah James.