EWON ketika ditemui media
KOTA KINABALU, — Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bermula 16 hingga 19 Disember 2025 bertempat di Padang Merdeka, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, Datuk Ewon Benedick berkata penganjuran itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Sabah Council of Churches (SCC) diangkat sebagai sambutan rasmi peringkat negeri.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata penganjuran berkenaan mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dalam menyokong dan meraikan kepelbagaian perayaan keagamaan di negeri ini.
“Sambutan ini bukan sahaja meraikan penganut Kristian, tetapi turut menjadi simbol perpaduan, keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 16 Disember, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 19 Disember.
Tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai Dalam Kasih” atau Hope For Peace In Love, menekankan nilai kebersamaan, keharmonian dan perpaduan rakyat selaras dengan aspirasi serta wawasan Sabah First.
Selain pelbagai pengisian pentas dan program kemasyarakatan, sambutan itu turut dimeriahkan dengan Jamuan Rakyat yang melibatkan penyertaan 100 usahawan tempatan dalam kalangan penjaja kecil, sekali gus mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap perusahaan mikro dan kecil.
Ewon turut menjemput seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut bagi memberi nilai dan makna kepada semangat perpaduan negeri.
Maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick, Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.



