26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Peruntuk Lebih RM10 juta Bayar Honorarium Pelaksanaan Mesyuarat MPKK

Ewon (empat dari kiri) menyampikan replika cek bayaran honorarium kepada MPKK seluruh Sabah tahun 2020, kepada wakil pegawai daerah.


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperuntukkan lebih RM10 juta untuk pembayaran elaun pelaksanaan mesyuarat sepanjang tahun ini kepada seramai 2,742 badan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang ada di negeri ini.
 
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran secara honorarium yang pertama kali dilaksanakan tahun ini adalah antara usaha kerajaan negeri menambahbaik urustadbir MPKK.

Beliau berkata, pembayaran honorarium MPKK dikira berdasarkan pembayaran Elaun Hadir Mesyuarat sebanyak RM50 seorang dan Elaun Pengendalian Mesyuarat sebanyak RM100 untuk setiap mesyuarat yang diadakan.

“Bayaran honorarium ini akan dimasukkan ke dalam akaun MPKK masing-masing. Ini bererti MPKK tidak perlu lagi membuat tuntutan pengendalian dan elaun kehadiran mesyuarat di pejabat daerah untuk mesyuarat yang diadakan sepanjang tahun ini. 

“Bagaimanapun, bagi mesyuarat yang diadakan sepanjang tahun lepas, MPKK masih boleh mengemukakan tuntutan di pejabat daerah sehingga Oktober ini.

“Elaun ini sepatutnya dibayar untuk enam kali mesyuarat yang diadakan dalam tempoh setahun,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan para Pegawai Daerah dan upacara ringkas penyampaian waran peruntukan pembayaran honorarium kepada semua pejabat daerah, di sini, hari ini.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebelum ini proses tuntutan pembayaran elaun pengendalian dan kehadiran mesyuarat MPKK menimbulkan banyak ketidakpuashatian di kalangan MPKK.
 
“Tetapi kita tidak dapat mengubahnya kerana itulah dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan yang menyediakan peruntukan untuk membayar elaun tersebut pada masa itu,” katanya.
 
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pembayaran secara honorarium pada tahun ini bagi menambahbaik urustadbir MPKK di Sabah.
 
“Pembayaran secara honorarium ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mac supaya elaun pengendalian mesyuarat dan hadir mesyuarat di bayar secara honorarium dan disalur terus ke akaun badan MPKK,” katanya.

Ewon berharap pejabat-pejabat daerah dapat memproses secepatnya waran pembayaran honorarium kepada MPKK di daerah masing-masing dalam tempoh dua minggu ini.
 
Mengenai pembayaran elaun Pengerusi dan Setiausaha MPKK, beliau berkata KPLB Sabah telah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Kewangan Sabah bagi membayar elaun Pengerusi dan Setiausaha bermula Julai 2020.
 
Beliau berkata, setiap Pengerusi MPKK menerima elaun RM500 sebulan, manakala Setiausaha MPKK pula menerima elaun RM300 sebulan.
 
Berkenaan cadangan Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Persekutuan di Sabah, Ewon berkata, Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan untuk menolaknya.
 
“Kerajaan Negeri hanya memperakukan MPKK sedia ada dan telahpun menyediakan peruntukan sendiri untuk membayar elaun Pengerusi dan Setiausaha,” katanya.
 
Turut hadir Pembantu Menteri Rasinin Koutis dan Dumi Pg Masdal serta Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN