ROSLI (dua dari kiri) meraikan Ketua Parti PBS Labuan, Datuk Peter Mark (kanan sekali) dan rombongan yang hadir pada majlis tersebut.
LABUAN: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu ada kebersamaan dalam meneruskan agenda memperkasa pembangunan dan ekonomi Labuan.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (PGRS) Labuan, Rosli Awang Damit berkata, selain kerajaan Persekutuan yang berusaha meningkatkan pembangunan Labuan, kerajaan Negeri Sabah juga turut menyokong dan membantu dan menyokong perancangan pembangunan yang dilaksanakan di pulau bebas cukai itu.
“Ini kerana Sabah turut mempunyai kepentingan khususnya yang melibatkan sektor minyak dan gas termasuk syarikat Asian Supply Base (ASB) Sdn. Bhd) sebuah syarikat berkepentingan Sabah yang berpangkalan di Labuan”, katanya ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Taman See Huat, Kampung Layang-Layangan di sini.pada Ahad.
Menurut Rosli, kerajaan negeri Sabah yang diterajui Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Mohd Nor perlu terus membantu memperluaskan sektor berkenaan di pulau ini bagi memberi peluang kepada penduduk Labuan meningkatkan pendapatan sekaligus menjana ekonomi Labuan.

ROSLI ketika bercakap kepada media pada majlis itu.
“Sebenarnya kita perlukan sokongan daripada Sabah untuk membantu Labuan dimana kerajaan negeri Sabah juga mempunyai banyak aset aset di Labuan dan kita pun sebahagian besarnya berasal dari Sabah.
“Jadi kita perlukan bantuan sokongan apa juga yang ada di Sabah supaya apa yang ada di Sabah dapat dipanjangkan ke Labuan untuk rakyat kita di sini” katanya.
Menyentuh mengenai sambutan rumah terbuka Aidilfitiri yang diadakan, beliau bersama rakan rakan dalam PGRS Labuan menzahirkan rasa syukur kerana dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin masyarakat termasuk pemimpin parti politik.
“Ahamdulillah majlis yang diadakan pada hari ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan silaturahim diantara satu sama lain, tetapi juga bertujuan untuk memperkenalkan PGRS yang telah wujud di Labuan.
Sehingga kini katanya, PGRS Labuan telahpun mempunyai 21 cawangan yang aktif dan beberapa cawangan baharu akan diwujudkan dalam waktu terdekat dan ini menandakan PGRS yang baharu ditubuhkan di Labuan telah mendapat sambutan yang mengalakkan.