SUMBANGAN…Anwar (tiga dari kiri) bersama HajijiĀ (dua dari kiri) ketika menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim.
TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah terus memperhebatkan usaha membantu golongan miskin tegar menerusi pelbagai inisiatif pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara inisiatif kerajaan ialah pemberian bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang selama setahun kepada 100,000 penerima bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
“Kerajaan Negeri juga meneruskan program pembinaan rumah kediaman bagi golongan miskin tegar menerusi projek Rumah Mesra SMJ dan sebanyak 3,000 unit rumah akan dibina tahun ini.
āProgram bantuan rumah kediaman ini turut merangkumi inisiatif memberikan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) golongan miskin tegar yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu,ā katanya semasa Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri 2025 di Padang Istiadat Daerah Tuaran, pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.
Hajiji turut menyatakan bagi meringankan beban pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri, Kerajaan Negeri turut menyediakan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada pelajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
“Bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri diperuntukkan bantuan RM300 seorang yang ingin pulang ke kampung masing-masing.
“Selain itu, banyak lagi inisiatif lain Kerajaan Negeri antaranya meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM50 juta kepada RM128 juta tahun ini.
“Pada tahun lalu sahaja, kerajaan telah membelanjakan sekitar RM470 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan,” jelas beliau.
Sementara itu, Hajiji turut memuji kepimpinan Anwar yang berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.
Menurutnya, Perdana Menteri sering diundang ke pelbagai forum antarabangsa untuk menyampaikan pandangan negara dalam isu berkepentingan global.
āSelain itu, pertumbuhan ekonomi negara semakin memberangsangkan dengan kemasukan pelaburan asing bernilai ratusan bilion ringgit, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Anwar,ā katanya.
Beliau menambah bahawa pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 merupakan satu lagi bukti kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara.
Terdahulu, Hajiji bersama Anwar melawat Jualan Rahmah di hadapan Dewan Seri Sulaman sebelum menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Daerah Tuaran. –Penerangan–