33 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Negeri amat pentingkan pembangunan kebudayaan komuniti

Dr. Joachim (kanan) mengadili pertandingan Makanan Tradisi KDMR

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, Kerajaan Negeri Sabah sememangnya amat mementingkan pembangunan kebudayaan komuniti melalui aktiviti-aktiviti seperti perayaan Pesta Kaamatan.

Katanya, ini kerana selain dapat menerus dan mempromosikan kebudayaan yang diwarisi sejak turun temurun, ia juga dilihat mampu meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan belia dan beliawanis yang terlibat dalam menganjurkan dan yang mengambil bahagian melalui pelbagai pertandingan-pertandingan yang diadakan sepanjang masa perayaan itu.

“Oleh itu, usaha penganjuran Pesta Kaamatan seumpama ini diharap dapat diteruskan dan menjadi wadah untuk mengeratkan lagi perpaduan bukan sahaja di kalangan pemimpin dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Moyog tetapi juga dengan semua anggota masyarakat di kawasan ini,” kata Dr. Joachim yang juga Naib Presiden PBS ketika merasmikan Majlis Penutupan ‘Lamai Kaamatan’ PBS N.26 Moyog 2022 yang diadakan di Dewan Pagansakan, Inobong, di sini hari ini.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah N.26 Moyog yang juga Naib Presiden ​Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), John Chryso Masabal dan Ketua Pemuda PBS Moyog, Rudy J. Jikinon selaku Pengerusi Penganjur serta pasukan kerja yang terlibat atas kejayaan menganjurkan acara yang julung-julung kali diadakan itu.

Beliau berkata, penganjuran Pesta Kaamatan PBS Moyog ini bukan sahaja sebagai meneruskan tradisi masyarakat Kadazandusun, tetapi juga mampu menjadi platform kepada usaha mengukuhkan jalinan kerjasama dan juga perpaduan sesama kaum, khususnya di daerah Penampang, selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Semangat berpasukan juga secara tidak langsung dapat diwujudkan selain memberi pengalaman berguna kepada semua yang terlibat.

“Sesungguhnya, PBS Moyog berada pada landasan yang benar dalam merealisasikan agenda pembangunan kebudayaan masyarakat berbilang kaum yang menjurus kepada penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan suku kaum selaras dengan tema pesta Kamatan pada kali ini iaitu “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi”,” katanya.

Beliau berkata, Pesta Kaamatan anjuran PBS Moyog itu baginya juga cukup istimewa kerana keterlibatan para ahli-ahli PBS dan rakan-rakan strategik serta anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur menghayati kebudayaan masyarakat Kadazandusun.

“Justeru, usaha dan kesepakatan setiap jawatankuasa (AJK) yang dibentuk dalam merancang persembahan dan pertandingan sudah pasti juga mampu menarik perhatian dan minat pelbagai lapisan masyarakat di setiap cawangan-cawangan PBS.

“Ia jelas membuktikan bahawa PBS bukan sahaja berupaya memberi pendedahan terhadap kebudayaan suku kaum terbesar di Sabah ini tetapi juga menunjukkan yang mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jayanya melalui kerjasama padu yang ditunjukkan oleh setiap AJK yang diberi tanggungjawab mengikut kemahiran masing-masing,” ujarnya, sambil berharap, PBS Moyog akan terus menganjurkan aktiviti-aktiviti seumpama ini di masa akan datang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN